Chevrolet Corvette ZR1 2025 diperkenal – enjin V8 5.5 liter twin turbo, kuasa 1,064 hp dan tork 1,123 Nm

Chevrolet Corvette ZR1 2025 diperkenal – enjin V8 5.5 liter twin turbo, kuasa 1,064 hp dan tork 1,123 Nm

Chevrolet Corvette generasi kelapan C8 kini akhirnya menerima varian prestasi ZR1, yang menerima pelbagai peningkatan, dengan antara yang utama adalah enjin V8 5.5 liter twin turbo yang dipanggil sebagai LT7 dan mempunyai kuasa seperti supercar.

Menurut Chevy, sistem forced induction pada C8 ZR1 ini terdiri daripada dua pengecas turbo ball bearing monoscroll 76 mm bersepad dengan manifold ekzos, wastegate elektronik serta kalibrasi anti-lag enjin pintar.

Selain daripada sistem turbo itu sendiri, enjin LT7 ini juga mempunyai head yang khas untuknya, kebuk pembakaran CNC lebih besar, sistem intake serba baru, profail pemasaan dan angkatan cam khas, pengimbang piston dan connecting rod, serta muncung sistem suntikan bahan api kedua.

Chevrolet Corvette ZR1 2025 diperkenal – enjin V8 5.5 liter twin turbo, kuasa 1,064 hp dan tork 1,123 Nm

Enjin ini asalnya menggunakan asas daripada unit LT6 pada Z06, tetapi hasil daripada semua perubahan ini, ia berjaya menghasilkan 1,064 hp pada 7,000 rpm dan tork 1,123 Nm pada 6,000 rpm. Ini sekaligus menjadikan LT7 sebagai enjin V8 paling berkuasa pernah dihasilkan di Amerika Syarikat, dan enjin V8 paling berkuasa pernah dipasang pada Corvette dari kilang.

Untuk bertahan dengan kuasa ini, transmisi klac berkembar lapan kelajuan yang digunakan turut menerima peningkatan untuk menjadikannya lebih kuat, dan kuasa dihantar kepada roda belakang. Menurut Chevy, C8 ZR1 boleh melakukan masa pecutan suku batu tidak sampat 10 saat, manakala laju maksimum pula lebih daripada 346 km/j.

Menjalankan tugas henti pada kereta berkuasa ini adalah brek cakera karbon seramik 400 mm di hadapan (paling besar pernah dipasang pada Corvette) dan cakera 390 mm di belakang. Untuk badan pula, dua tetapan disediakan, dan penyerap Magnetic Ride diberikan secara standard.

Tetapan pertama nampak tidak keterlaluan dengan badan yang lebih bersih serta spoiler kecil, tetapi untuk tetapan kedua, ia datang dengan splitter hadapan gentian karbon, panel tambahan tepi kenderaan, bukaan udara tepi dengan salut penyejuk brek, tambahan panel aerodinamik serta tayar Michelin Pilot Sport 4S yang membalut rim 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang.

Untuk tetapan yang paling ganas, Chevy menyediakan pakej prestasi ZTK, yang menyediakan panel tambahan lebih agresif bersama sayap belakang besar, dan kebanyakannya menggunakan gentian karbon. Turut diberi dalam pakej ini adalah spring suspensi yang lebih keras, serta tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 R.

Sementara bahagian luar menyaksikan perubahan yang banyak berbanding model biasa, bahagian dalam pula adalah sama sahaja, kecuali sedikit sentuhan seperti lencana ZR1 serta corak jahitan khas. Pemilik bagaimanapun masih boleh mengubah suai warna atau tema kenderaan ini melalui pilihan yang diberikan dalam katalog.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required