Sindiket curi kenderaan di Johor tumpas – hanya 30 saat dengan guna jammer untuk bawa lari kereta

Sindiket curi kenderaan di Johor tumpas – hanya 30 saat dengan guna jammer untuk bawa lari kereta

Dalam hanya 30 saat sahaja, sindiket curi kenderaan mampu mencuri kenderaan walaupun dipasang dengan sistem penggera dan immobilizer, kata polis Johor.

Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, sindiket tersebut menyasarkan hanya membawa lari kenderaan mewah dan pacuan empat roda (4X4) untuk dijual kepada pasaran gelap di negara jiran. Menyifatkan sebagai sindiket yang celik teknologi, mereka hanya beroperasi dalam kumpulan seramai dua orang untuk mencuri kenderaan mewah, laporan MalayMail.

“Sindiket ini aktif sejak lima hingga enam bulan dan selalunya bergerak dalam kumpulan dua atau tiga orang dan menggunakan kereta yang disewa. Modus operandi sindiket terbabit menggunakan pengaturcara elektronik untuk memasuki dan menghidupkan mana-mana kenderaan moden tanpa kunci,” katanya dalam sidang media semalam di ibu pejabat polis kontinjen Johor.

Selain itu, sindiket terbabit juga akan menggunakan alat dipanggil ‘jammer’ untuk mematikan semua peralatan GPS dan sebagainya dalam masa 30 saat saja sebelum mereka melarikan kenderaan berkenaan, memetik laporan Harian Metro.

Beliau turut berkata, berdasarkan statistik dari Januari lalu hingga kini, jumlah kehilangan kenderaan 4×4 dan kenderaan mewah di kontinjen ini adalah sebanyak 69 buah yang mana ia mengakibatkan kerugian RM8.8 juta. Di mana sasaran sindiket adalah Toyota Hilux, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Toyota Fortuner yang mana kenderaan mewah serta 4X4 itu mempunyai permintaan di pasaran luar negara.

“Kenderaan curi ini akan dihantar ke negara jiran menggunakan jalan darat. Sebuah kenderaan dianggar dijual antara RM30,000 hingga RM40,000.

“Selain tiga sindiket curi kenderaan mewah dengan lapan tangkapan turut ditumpaskan adalah dua kumpulan curi kereta lama tempatan dengan enam tangkapan dan tiga kumpulan curi motosikal tempatan dengan 10 tangkapan. Sebanyak 81 kenderaan dirampas dalam operasi itu terdiri daripada 25 kereta, sebuah van, empat lori, 51 motosikal dan 13 rangka motosikal selain turut merampas 30 komponen kenderaan dan pelbagai peralatan curi kenderaan,” katanya lagi.

Tambah beliau, operasi bersepadu yang digelar Ops Lejang itu dilancarkan di seluruh negeri Johor bermula 21 Jun hingga 21 Julai lalu. Ia bertujuan untuk mengekang kejadian jenayah daripada terus berleluasa terutamanya jenayah harta benda yang membabitkan kes curi kenderaan.

“Fokus sasaran operasi adalah untuk mengesan dan menangkap suspek terbabit, pemeriksaan bengkel kenderaan, kedai menjual dan membeli alat ganti kenderaan. Operasi ini turut menyasarkan bekas penjenayah, orang yang dikehendaki polis dan mereka yang berpotensi untuk diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required