Hari ini, acara kustom culture antara yang terbesar di Malaysia, Art of Speed (AOS) 2024 mula dibuka untuk pengunjung, dengan menampilkan pelbagai pameran dan acara, untuk kenderaan ubah suai serta dunia gaya hidup yang berkaitan.
Kami juga sempat singgah ke Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang untuk menyaksikan sendiri keunikan acara ini dan di sini anda boleh lihat antara jentera serta keadaan sekitar tapak acara pada hari pertama acara yang sudah masuk tahun ke-13 ini.
Sudah tentu, gambar-gambar yang kami paparkan di sini tidak menampakkan semua kawasan pameran serta kenderaan yang dipamerkan, tetapi sekurang-kurangnya anda boleh lihat kepelbagaian yang disediakan untuk pengunjung.
Seperti yang ramai tahu, AOS adalah satu acara yang banyak mengetengahkan dunia kustom kenderaan, dan seperti tahun-tahun sebelum ini, antara yang menjadi tumpuan adalah pertandingan AOS Invitational Build-Off, melibatkan 10 pembina khas yang akan merebut hadiah wang tunai dan juga peluang untuk menghantar motorsikal kustom mereka ke Jepun untuk acara The 32nd Yokohama Hot Rod Custom Show 2024.
Kemudiannya, ada juga kenderaan yang dibawa dari luar negara, termasuk motosikal kustom Vincent Black Shadow oleh Katie’s Customs dan Harley-Davidson Panhead STOOP Motorcycles dari Jepun, beberapa buah kereta dari Thailand dan pelbagai lagi.
Selain dewan A yang menampilkan pameran utama, beberapa dewan lagi turut memuatkan pameran dengan konsep berbeza seperti gaya hidup luar (outdoor) dan konvensyen pengumpul Hot Wheels. Anda boleh saksikan semua ini dengan hadir sendiri ke MAEPS sama ada hari ini atau esok sepanjang ia sedang berlangsung.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.