Pagi ini Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah membuat tinjaun ke salah sebuah stesen LRT3 Laluan Shah Alam yang sedang dalam pembinaan, iaitu Stesen Pasar Jawa, Klang. Dalam sesi yang sama, Loke turut mengumumkan status projek berkenaan kepada pihak media.
Menurut Loke, kerja-kerja fizikal projek LRT3 Laluan Shah Alam ini termasuk semua stesen sepanjang laluan sudahpun 95.6% siap, dan ia akan mencapai 100% pada bulan Oktober nanti. Selepas itu, kerja-kerja lain termasuk melengkapkan perisian, pengintegerasian sistem dan sebagainya akan mengambil masa beberapa bulan sehingga awal tahun depan.
Apabila kesemuanya lengkap, kerja-kerja menguji pula akan berlangsung selama tiga hingga empat bulan, sebelum LRT3 Laluan Shah Alam ini beroperasi sepenuhnya untuk digunakan oleh orang ramai dijangka pada suku ketiga 2025, jelas Loke.
Projek ini pada asalnya dijangka akan beroperasi pada bulan Mac tahun hadapan, namun menurut Loke, kelewatan pembukaan ini dalah disebabkan beberapa perkara seperti pandemik Covid-19 menyebabkan beberapa kerja tergendala.
“Namun begitu, pihak Prasarana bersama-sama pihak kontraktor dan juga semua pihak terlibat dalam projek ini telah pun berusaha untuk mengejar kembali masa yang telah pun lewat dan kita berjaya mengurangkan kelewatan itu. Dijangkakan ia akan dapat bermula pada suku ketiga, bulan Ogos atau bulan September,” jelas Loke.
Menurutnya lagi, selepas siap nanti LRT3 mempunyai kapasiti untuk mengangkut seramai 300,000 penumpang sehari, dan kapasiti ini mungkin akan dapat dicapai dengan cepat memandangkan laluan berkenaan melalui kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.
Perkhidmatan LRT3 sepanjang 37.8 km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Dalam sidang media hari ini Loke turut mengumumkan bahawa lima stesen yang digugurkan sebelum ini sudahpun diberi lampu hijau untuk kembali di bina dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Julai lalu, selari dengan pengumuman Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2024 tahun lalu.
Lima stesen tersebut adalah Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan juga Bandar Botanik. Loke memberitahu pembangunan lima stesen ini akan berlangsung selama dua tahun selepas LRT3 Laluan Shah Alam ini beroperasi pada suku ketiga 2025, dan ia tidak akan menggangu sebarang operasi perkhidmatan tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.