Proton baru sahaja membuat pengumuman bahawa model EV pertamanya yang dikenali sebagai siri eMas bakal didedahkan tiga hari lagi, iaitu pada Jumaat minggu ini. Pengumuman tersebut dibuat menerusi laman-laman sosialnya, dan dengan jelas imej teaser yang dipaparkan merupakan bayangan sisi yang seiras dengan Geely Galaxy E5.
Model ini dijangka akan digelar sebagai eMas7 atau eMas E7, seperti yang sudah didaftarkan oleh Proton di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Tiada sebarang petunjuk berkenaan spesifikasi teknikal diumum oleh Proton sebelum ini, namun ia dijangka banyak berkongsi perincian dengan Galaxy E5.
Geely Galaxy E5 baru sahaja didedahkan di China pada Mei lalu. Ia diasaskan dari platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA), digerakkan dengan sebuah motor elektrik yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS/320 Nm. Di China, E5 ditawarkan dalam dua versi bateri litium logam fosfat (LFP), masing-masing berkapasiti 49.52 kWj untuk jarak gerak 440 km dan 60.22 kWj untuk jarak gerak 530 km, kedua-duanya dalam kitaran ujian CLTC.
Antara perincian lain yang dilengkapkan pada Galaxy E5 di China ini termasuk paparan instrument dengan skrin 10.25-inci, skrin sesentuh untuk sistem infotainmen bersaiz 15.4-inci, disambungkan kepada sistem bunyi Flyme Sound 1,000 watt dengan 16-pembesar suara.
E5 dijual pada harga bermula 123,000 yuan (RM78,300) sehingga 157,000 yuan (RM100,100). Jika dilihat pada penawaran model-model rebadge Proton-Geely sebelum ini, harga untuk model pertama eMas ini kelak mungkin sedikit tinggi di Malaysia.
Pengumuman yang dibuat oleh Proton sebentar tadi ini sebenarnya agak mengejutkan. Ini kerana sebelum ini Proton menyatakan model ini hanya akan didedahkan pada bulan Disember nanti.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.