Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengesahkan laluan Smart Lane di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) tidak dapat dilaksanakan atas beberapa faktor antaranya perlu mengambil kira laluan yang berselekoh serta berbukit di sepanjang lebuh raya berkenaan.
Katanya, aspek yang perlu dipertimbangkan sebelum Smart Lane itu dibenarkan untuk diaktifkan di mana-mana bahagian lebuhraya adalah kelebaran bahu jalan sedia ada dan faktor geometrik jajaran lebuh raya terlibat, laporan Bernama.
“Atas sebab itulah Smart Lane ini tidak dapat dilaksanakan di Lebuhraya KLK kerana kelebaran bahu jalan di lorong kecemasan tidak mencukupi untuk dilalui oleh kenderaan selain laluan yang berselekoh serta berbukit di sepanjang lebuh raya berkenaan,“ katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Manolan Mohamad yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk melaksanakan Smart Lane di Lebuhraya KLK untuk mengurangkan kesesakan terutamanya pada hujung minggu.
Jelasnya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi ANIH Berhad (ANIH) telah merancang beberapa tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk mengatasi isu kesesakan di KLK.
Beliau berkata tindakan itu antaranya melaksanakan penyaluran lorong di beberapa lokasi sepanjang lebuh raya itu antara KM64.3 berdekatan susur persimpangan Lingkaran Tengah Utama (LTU), di pusingan U di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong dan jalan susur ke Genting Highlands, bagi mengurangkan ‘konflik’ dan melancarkan pergerakan trafik.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.