Cycle & Carriage (C&C) telah mengumumkan kerjasama dengan Stellantis Malaysia yang bakal menyaksikan syarikat itu menjadi pengedar rasmi bagi beberapa jenama di bawah Stellantis. Ini akan dimulakan dengan Peugeot, yang pernah diwakili oleh C&C dari tahun 2002 hingga 2007, sebelum jenama itu diambil alih kendaliannya oleh Nasim (Kumpulan Syarikat Naza) pada 2008.
Menjelang suku keempat tahun ini, dua bilik pameran sedia ada C&C yang terletak di Cheras dan Batu Caves akan mula mempamerkan dan menjual kenderaan Peugeot di bawah satu bumbung, serta menawarkan sokongan jualan dan lepas jualan yang berkaitan.
Akan datang, C&C juga mengintai untuk mengedarkan semua jenama yang berada di bawah naungan Stellantis Malaysia, dengan perluasan rangkaian pengedarnya di kawasan Utara dan Selatan Semenanjung menjelang 2025. C&C juga sudah bekerjasama dengan Stellantis di Singapura dan Vietnam, menjadikan kerjasama di Malaysia ini satu pencapaian baru yang sangat penting bagi kedua-dua syarikat.
“Kami teruja untuk memulakan fasa baru bersama Stellantis Malaysia, untuk menawarkan barisan produk penuh kepad pelanggan, yang disertai dengan pengalaman dan kepakaran automtotif dalam sejarah panjang 125 tahun C&C,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Cycle & Carriage, Thomas Tok.
Thomas juga mendedahkan bahawa pasukan pengurusan yang berasingan dari pihak mereka yang akan mengendalikan jenama Stellantis. Bilik pameran Peugeot di dua lokasi terawal itu juga bakal berkongsi ruang dengan jenama Mercedes-Benz yang turut diedarkan oleh C&C, tetapi masing-masing dengan penampilan dan keperluan yang berbeza, menepati setiap satunya secara unik. Selain itu, sebuah lagi premis turut akan dibuka di George Town, Pulau Pinang dalam masa terdekat.
“Kerjasama dengan C&C merupakan pencapaian tersendiri buat Stellantis Malaysia, dan kami berbesar hati untuk mengalu-alukan rakan pengedar baru ke dalam rangkaian yang semakin berkembang. Ini cerminan kepada kesungguhan kami untuk memberikan khidmat dan nilai terbaik kepada pelanggan. Reputasi C&C juga selari dengan nilai yang kami junjung dan kami bersedia untuk mencipta standard baru dalam industri untuk memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik,” ujar Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Morais.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.