Ketika majlis pra-tonton sulung Proton eMas 7 minggu lalu, Proton turut mengumumkan yang syarikat itu telah mempunyai 29 pengedar setakat ini — melebihi daripada 18 pengedar yang ada sebelum ini — untuk sub-jenama eMas-nya nanti. Syarikat itu juga mensasarkan untuk mempunyai 25 cawangan ketika model berkenaan dilancarkan secara rasmi Disember nanti.
Lokasi cawangan dan bilik pameran berkenaan melibatan seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, dengan kebanyakan daripadanya terletak di kawasan tengah — di Kuala Lumpur (Cheras, Jalan Kuching dan Jalan Tun Razak) dan sembilan di Selangor (dua di Petaling Jaya dan masing-masing satu di Rawang, Glenmarie, Kajang, Puncak Jalil, Balakong, Shah Alam dan Puchong).
Selain itu, akan ada juga bilik pameran di Johor (Plentong, Medini dan Johor Bahru) serta Perak (dua di Ipoh dan satu di Taiping). Tidak ketinggalan ada dua di Pulau Pinang (Butterworth dan Georgetown) dan Kota Kinabalu, Sabah. Selebihnya, cawangan tersebut akan berada di Sungai Petani, Kedah; Kota Bharu, Kelantan; Kuala Terengganu, Kuantan, Pahang, Nilai, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuching, Sarawak.
Model pertamanya nanti ialah SUV elektrik eMas 7 yang dibangunkan bersama dengan Geely bagi model Galaxy E5. Dibangun menggunakan platform Global Modular Architecture (GMA), SUV berkenaan akan memanfaatkan motor 12-dalam-1 dengan kecekapan yang didakwa mencapai 90.04% serta bateri lithium iron phosphate (LFP) yang menggunakan sel bateri “bilah pendek” Aegis. Ia juga akan dilengkapi sistem infotainmen Flyme Auto yang dikuasakan oleh cip 7 nm.
Spesifikasi lengkapi belum didedahkan lagi, tetapi Galaxy E5 di China dilengkapi dengan motor tunggal di depan dengan janaan 218 PS (160 kW) dan 320 Nm, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat. Dua kapasiti bateri juga ditawarkan sebagai pilihan — 49.52 kWh dengan jarak 440 km, serta unit 60.22 kWh dengan jarak 530 km (CLTC). Proton eMas 7 mungkin akan menggunakan sistem janaan kuasa yang sama.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.