Gara-gara ‘membiarkan’ anak lelakinya berusia 12 tahun memandu kereta, seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen di Sepang atas pertuduhan mengabaikan dan bertindak secara cuai yang mungkin mendedahkan anaknya itu kepada kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan lelaki terbabit yang merupakan warga Pakistan dan bekerja sebagai penjual karpet, dengan cara gagal mengawasi anaknya itu sehingga kanak-kanak terbabit memandu kenderaan, laporan Berita Harian.
Walau bagaimana pun, tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman. Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah taman perumahan di Taman Putra Impiana, Puchong jam 7.30 petang pada 28 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahin Sasaruddin menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mendekati saksi pendakwaan dan melapor diri di balai polis setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam Nabilla Rosli yang mewakili tertuduh membantah jaminan tinggi dikenakan berikutan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.
“Anak guam adalah warga pakistan yang berstatus PR (pemastautin tetap) Malaysia mempunyai lima anak berusia enam hingga 19 tahun yang semuanya masih sekolah. Isteri yang juga warga Malaysia adalah suri rumah dan anak guam peniaga karpet kecil-kecilan dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM3,000,” katanya.
Ahmad Fuad menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan serta 4 September ini untuk sebutan kes.
Sebelum ini, tular rakaman video di laman media sosial memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu kanak-kanak dan turut dinaiki dua adiknya. Menurut wanita yang turut merakamkan video berkenaan, kereta dipandu kanak-kanak terbabit agak laju ketika melalui bonggol di depan sebuah rumah sebelum diarah untuk berhentikan keretanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.