Sudah lebih tiga tahun Perodua Ativa dilancarkan di sini sejak 2021, dan sudah sampai waktu yang sepatutnya untuk model berkenaan diberikan facelift. Tambahan pula kembarnya, Daihatsu Rocky/Toyota Raize pula dilancarkan pada 2019.
Myvi facelift misalnya diperkenalkan empat tahun selepas model generasi ketiganya diperkenalkan, sementara Bezza facelift pula tiba selepas tiga setengah tahun versi asalnya diperkenalkan. Kini, pereka Theophilus Chin menawarkan bayangannya terhadap Ativa facelift dengan perubahan yang ketara.
Versi bayangan digital ini meminjam banyak ilham daripada Toyota Crown Sport, dengan menerapkan rekaan luarannya kepada Ativa ini, dan mengekalkan bahagian kacanya termasuk cermin depan, tingkap dan bumbung. Tema warna merah/hitam Crown Sport juga dipinjam.
Wajah depannya sebahagian besar juga dari Crown Sport, dan disesuaikan kepada bentuk Ativa yang lebih tinggi dan kurus, termasuklah untuk bahagian bukaan udara dan perumah lampu kabus. Rekaan bagi lampu pula melibatkan rekaan terpisah dengan bahagian atasnya tidak disertakan dan diganti dengan gril dan lampu yang lebih lazim.
Begitu juga di belakang yang dengan ketara meminjam unsur reka bentuk dari Crown Sport — dari lampunya, panel bukaan udara, bampar belakang serta kedudukan plat. Dari sisi, bentuk panel pintu, kemasan bawah serta cladding tayarnya diambil dari Crown Sport tetapi disesuaikan dengan keseimbangan bentuk pada Ativa.
Yang terkini, versi Perodua Ativa dengan kemaskini dan peningkatan dilihat pada Ogos tahun lalu, ketika sebuah Daihatsu Rocky dengan kelengkaan bantuan pemandu dipertingkat pernah dilihat di Dengkil, Selangor. Selain kemaskini kit ADAS, rupa bentuk Rocky berkenaan kekal sama.
Perodua Ativa ketika ini dijual pada harga dari RM62,500 untuk kemasan X, sehingga RM73,400 bagi versi yang paling tinggi AV dengan skim dwi-warna.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.