Selain dari Genting Highland, Jalan Ulu Yam Bharu menuju ke Sungai Tua, Selangor merupakan satu lagi jalan yang popular untuk pemilik-pemilik kereta dan motosikal berkuasa tinggi ‘menguji’ jentera masing-masing.
Jadi bagi mengekang dan mencegah kesalahan lalu lintas di kawasan terbabit, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor telah melakukan Ops Samseng Jalanan di jalan yang terkenal dengan jolokan “Litar Antarabangsa Ulu Yam” tersebut semalam.
Operasi berkenaan bermula jam 7 hingga 10 pagi, dan menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim sebanyak 40 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan dilakukan adalah memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi had laju, tiada lesen memandu dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Bagaimanapun, tiada sitaan dan tiada pemandu ditahan dalam operasi ini,” katanya kepada Harian Metro.
“Setakat ini polis belum menerima aduan ada pihak yang berlumba namun akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.
“Pemandu dan penunggang motosikal diingatkan supaya bawa kenderaan dengan sebaik mungkin, patuh undang-undang lalu lintas dan jangan pentingkan diri sendiri,” tambahnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.