TGR Festival Vios Challenge Musim ke-7, pusingan pertama; pelumba muda terus kuasai perlumbaan!

TGR Festival Vios Challenge Musim ke-7, pusingan pertama; pelumba muda terus kuasai perlumbaan!

Perlumbaan one-make Vios Challenge untuk Toyota Gazoo Racing Festival bagi musim ketujuh sudahpun bermula hujung minggu lalu, dengan pusingan pertama berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada 9 hingga 11 Ogos 2024. Selain dari menggunakan jentera generasi baharu Vios NGC102 sebagai asas kereta lumba, perlumbaan kali ini juga menyajikan format yang berlainan dari musim lalu.

Perlumbaan ini berlangsung sekali dengan beberapa perlumbaan premier lain seperti Malaysia Championship Series (MCS), dan oleh itu di menggunakan sepenuhnya litar Sepang, berbanding hanya menggunakan separa litar sebelah utara untuk musim-musim sebelum ini.

Bermula musim ini juga tiada lagi kategori Promotional untuk selebriti-selebriti tempatan berlumba, dan ia hanya menampilkan tiga kategori iaitu kelas Sporting yang disertai pelumba amatur, kelas Super Sporting menyaksikan pertarungan antara pelumba professional dan juga kelas TGR Rookie yang menampilkan pelumba-pelumba muda yang telah menamatkan kelas dalam kumpulan ke-4 program pembangunan pelumba muda Gazoo Racing Malaysia.

Ketiga-tiga kategori ini dilepaskan serentak dalam satu perlumbaan, oleh itu masa perlumbaan juga bertambah di mana pelumba perlu bertahan selama sejam. Sama seperti musim sebelum ini, setiap pusingan akan menyajikan dua perlumbaan iaitu Race 1 pada hari Sabtu dan Race 2 diadakan pada hari Ahad.

RACE 1

Kelas Super Sporting

TGR Festival Vios Challenge Musim ke-7, pusingan pertama; pelumba muda terus kuasai perlumbaan!

Naquib Azlan dari pasukan Axle Sport memulakan perlumbaan ini di petak pertama, dan selepas selekoh pertama Naquib terus memimpin perlumbaan dan menjarakkan diri dari kelompok kedua yang menyaksikan persaingan antara Mitchell Cheah, Tengku Djan, Freddie Ang dan Nabil Azlan.

Sementara Naquib selesa berada di hadapan, Tengku Djan juga berjaya mempertahankan kedudukan tempat kedua sehingga tamat perlumbaan, namun tindakan yang dibuat oleh Nabil di lap terakhir untuk memotong Mitchell dan Ang membolehkan dia berada di podium ketiga.

“Saya sentiasa merasakan bahawa saya layak untuk berada dalam sukan dan kategori ini. Saya tahu apa yang saya mampu. Ini adalah keputusan yang baik dan ia pasti akan merangsang momentum. Saya hanya akan fokus untuk setiap perlumbaan yang datang,” kata Naquib yang bermula sebagai pemandu simulator dan kini beraksi buat musim kedua dalam kelas Super Sporting. Pelumba yang baru berumur 24 tahun ini juga merupakan juara kelas Rookie pada 2021 dan juara kelas Sporting pada 2022.

Kelas Sporting

TGR Festival Vios Challenge Musim ke-7, pusingan pertama; pelumba muda terus kuasai perlumbaan!

Untuk kategori ini Shafiq Samsudin dari pasukan Race Rally KL berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama. Manakala tempat kedua dimenangi oleh pelumba dari Thailand yang baru berumur 16-tahun, Panithan Rakpaibulsombut yang membolehkannya menjadi pelumba antarabangsa pertama yang menaiki podium dalam perlumbaan ini. Tempat ketiga pula adalah milik pelumba yang telah lama bertanding dalam kategori ini iaitu Kenneth Koh dari pasukan PCM Group Racing Team.

“Ini merupakan perlumbaan yang agak sukar memandangkan kami semua perlu membiasakan diri dengan kereta baharu ini, tetapi dengan latihan yang cukup pada hujung minggu ini saya dapat menyesuaikan diri dengan cepat. Terdapat banyak lagi yang perlu dipelajari tentang kereta baru dan tayar musim ini terutamanya dengan perbezaan nisbah gear,
sistem brek dan tahap cengkaman tayar. Ia adalah berkenaan bagi mendapatkan persediaan yang betul untuk kereta dan kami akan mencapainya dengan lebih banyak masa memandu,” kata Shafiq.

Kelas Rookie

TGR Festival Vios Challenge Musim ke-7, pusingan pertama; pelumba muda terus kuasai perlumbaan!

Perlumbaan pertama untuk kumpulan baharu pelumba muda ini dimenangi oleh pelumba kart profesional yang berumur 18-tahun, Adam Mikail. Dia menewaskan dua lagi pelumba kart rekreasi iaitu Brandon Ho yang berumur 22 tahun dan Amirul Afiq yang juga baru berumur 18 tahun.

RACE 2

Kelas Super Sporting

TGR Festival Vios Challenge Musim ke-7, pusingan pertama; pelumba muda terus kuasai perlumbaan!

Dua pelumba pasukan Laser Motorsport iaitu Putera Adam dan Eddie Lew memulakan perlumbaan di grid paling hadapan. Namun selepas kedudukan pertama dan kedua saling bertukar antara dua pelumba ini, akhirnya Mitchell Cheah berjaya berada di tempat pertama pada lap ke-enam, dan secara perlahan-lahan menjarakkan diri dari kelompok kedua serta memimpin perlumbaan sehingga tamat dałam keadaan litar yang masih basah berikutan hujun yang turut sebelumnya.

“Saya dapat perlumbaan yang hebat hari ini. Hadir ke Race 2 hari ini saya sangat yakin kerana keadaan (perlumbaan basah) dan saya tahu apa yang perlu saya lakukan tetapi ia mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan untuk menjarakkan diri dari pertempuran sengit untuk kedudukan trek, kami bermula dengan trek yang hampir basah sepenuhnya akibat hujan awal dan apabila perlumbaan berlangsung, keadaan menjadi lebih baik dan saya perlahan-lahan menjarakkan kedudukan sebagai pendahulu perlumbaan,” kata Cheah yang juga juara kelas Sporting untuk musim lalu.

Namun Naquib yang berada di kelompok belakang juga berjaya melakukan keajaiban dengan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua diikuti Freddie Ang dari pasukan Telagamas. Ini membolehkan Naquib menjadi juara keseluruhan untuk pusingan pertama ini dan membawa pulang hadian wang tunai berjumlah RM16,000.
Kelas Sporting

TGR Festival Vios Challenge Musim ke-7, pusingan pertama; pelumba muda terus kuasai perlumbaan!

Manakala dalam kelas Sporting, Kenneth Koh sekali lagi menjejakkan kaki ke podium untuk Race 2, dan kali ini sebagai juara. Ini membolehkan Kenneth mendahului kejuaraan untuk kelas ini dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM14,000.

“Ia adalah perlumbaan yang sangat sukar kerana keadaan licin tetapi apabila trek kering saya berjaya menjarakkan diri. Secara keseluruhan, kereta terasa baik dan saya sangat gembira dengan bagaimana perlumbaan hujung minggu berlalu,” kata Koh.

Kejayaan ini juga mengembalikan keyakinan kepada Koh setelah terpaksa menempuh waktu sukar sebelum bermulanya perlumbaan musim ini, di mana jentera Vios yang baru diterima bulan lalu terlibat dalam kemalangan dalam sesi ujian pra-musim yang dibuat oleh memandu lain. Ini menyebabkan pasukannya terpaksa membaiki kereta yang rosak teruk pada bahagian hadapan tersebut dalam masa tak sampai sebulan.

Kelas Rookie

TGR Festival Vios Challenge Musim ke-7, pusingan pertama; pelumba muda terus kuasai perlumbaan!

Apa yang menarik, keputusan untuk Race 2 Kelas Rookie ini sama seperti Race 1 di mana Adam Mikail berada di tempat pertama, diikuti oleh Brandon Ho dan Amirul Afiq. Malah Adam turut menunjukkan prestasi yang cukup baik dengan menghabiskan perlumbaan di tempat ke-10 secara keseluruhan dari 33 kereta, malah turut berada di hadapan beberapa pelumba kelas Sporting.

“Dengan kemenangan semalam, saya perlu membawa 20 kg berat ballast tambahan dalam kereta, dan dengan format grid terbalik saya turut perlu bermula pada petak paling belakang. Saya agak bimbang sama ada saya akan dapat melepasi kereta hadapan tetapi saya mempunyai rentak yang baik ketika perlumbaan dan saya terkejut apabila perlumbaan berlangsung saya mendapati diri saya bercampur dengan pemandu kelas Sporting,” kata Adam.

Secara keseluruhan perlumbaan pusingan pertama musim ke-tujuh ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM110,000. Pusingan kedua nanti akan diadakan pada 27 hingga 29 September, manakala pusingan terakhir akan berlangsung pada 3 hingga 5 Januari 2025 dan ia akan dibuka kepada orang ramai dan disertakan dengan pelbagai acara menarik termasuk hiburan serta aktiviti rekreasi dan keluarga.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required