Great Wall Motor (GWM) Malaysia mengumumkan telah menghantar sebanyak 100 unit GWM Tank 300, dalam tempoh sebulan ia dilancarkan pada pertengahan Julai lalu. Awal bulan ini, syarikat tersebut berkata pihaknya telah menerima lebih 300 unit tempahan bagi SUV off-road, yang diimport sepenuhnya dari China dan berharga RM250,000.
Penerima ke-100 Tank 300 ini, profesor Steven Leow berkata dia tertarik dengan SUV ini selepas mencubanya buat pertama kali di China. “Sebagai peminat kereta, Tank 300 cukup menarik perhatian saya dengan spesifikasi dan teknologi yang luar biasa,” katanya sewaktu acara penyerahan kenderaan ini.
Tambahnya, “Saya tidak menyangka kenderaan off-road ini mempunyai tahap keselesaan seperti kereta sedan, dan ia memang di luar jangkaan saya. Bukan itu sahaja, teknologi puntas seperti ADAS penuh, pengecas tanpa wayar dan transparent chassis memang menepati keperluan gaya hidup model yang diperlukan.”
Tank 300 dipacu oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo, yang mampu menghasilkan 220 PS (217 hp atau 162 kW) pada 5,500 rpm dan tork 380 Nm dari 1,800 hingga 3,600 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada roda melalui transmisi automatik lapan-kelajuan, dengan sistem pacuan empat-roda yang datang dengan fungsi 2H, 4H, 4L, serta pengunci differential hadapan dan belakang elektronik.
Ciri kelengkapan standard untuk SUV ini termasuk lampu utama LED, roda aloi dua-tona 18-inci (tayar Michelin Primacy HT), sepasang skrin (meter 12.3-inch dan skrin sesentuh 12.3-inch), pendingin hawa automatik (dengan corong belakang), tempat duduk hadapan larasan kuara, upholstery kulit Nappa tiruan, sistem bunyi Infinity dengan sembilan-pembesar suara, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, bumbung suria larasan kuasa dan pencahayaan ambien 64-warna.
Pengarah Urusan GWM Malaysia Cui An Qi berkata, pihaknya gembira dengan sambutan yang menggalakkan untuk Tank 300 daripada pelanggan Malaysia. “Pencapaian ini telah mengukuhkan keyakinan pelanggan kami terhadap jenama kami dan mengukuhkan kepercayaan mereka terhadap produk berkualiti tinggi kami,” katanya.
GALERI: GWM Tank 300
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.