Lotus Emeya dilancar di Malaysia – RM555k-RM777k, EV GT 4 pintu sehingga 918PS, 0-100 km/j 2.78 saat!

Lotus Emeya dilancar di Malaysia – RM555k-RM777k, EV GT 4 pintu sehingga 918PS, 0-100 km/j 2.78 saat!

Lotus Cars Malaysia hari ini secara rasmi telah melancarkan model Hyper-GT terbaharunya iaitu Emeya ke pasaran tempatan. Model ini telah membuat kemunculan sulungnya di Amerika Syarikat pada September 2023, dan sesi pratonton untuk pelanggan yang berminat telah pun bermula bulan lalu.

Ketiga-tiga varian Emeya ditawarkan kepada pelanggan di Malaysia. Ia bermula dengan varian asas Lotus Emeya dijual pada harga bermula RM555,000, diikuti Emeya S dengan harga RM643,000, manakala varian paling pantas dan berkuasa Emeya R boleh dibeli pada harga bermula RM777,000. Harga yang disebut ini adalah harga atas jalan tanpa insuran untuk Semenanjung Malaysia.

Sama seperti Hyper-SUV EV Lotus Eletre, Emeya yang merupakan Grand Tourer-empat pintu ini juga diasaskan dari platform Electric Premium Architecture (EPA) yang dibangunkan Lotus menampilkan asas sistem elektrikal 800-volt. Jadi dalam dunia sebenar, Emeya adalah jawapan Lotus terhadap Porsche Taycan dan Audi e-Tron GT.

Bagi model asas Emeya, ia menerima tetapan dua motor elektrik yang masing-masing diletakkan pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan kebolehan pacuan semua roda, serta kuasa keseluruhan 612 PS dan tork maksima 710 Nm. Konfigurasi yang sama dikongsi bersama Emeya S, dan ia juga sebenarnya sama seperti unit rangkaan kuasa pada Eletre dan Eletre S.

Untuk Emeya dan Emeya S, gandingan ini cukup membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.15 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j. Manakala untuk Emeya R, kuasa yang dihasilkan dari kedua-dua motor adalah 918 PS dan tork maksima 985 Nm, membolehkan pecutan sama dicapai dalam masa hanya 2.78 saat dan kelajuan maksima pula adalah 256 km/j.

Ketiga-tiga varian ini menerima sistem Lotus ICC bagi memastikan agihan tork yang tepat diberikan pada setiap roda. Manakala untuk Emeya R, motor elektrik yang diberikan bukan hanya lebih berkuasa, malah unit rangkaian kuasa tersebut juga turut diberikan transmisi dua kelajuan.

Kesemua varian menerima bateri 102 kWh, yang membolehkan Emeya dan Emeya S bergerak sejauh 610 km mengikut kitaran WLTP dengan satu cas penuh, manakala Emeya R yang lebih berkuasa pula hanya boleh bergerak sejauh 485 km. Unit rangkaian kuasa ini berfungsi menerusi asas seni bina elektrikal 800-volt. Ini membolehkan pengecas pantas DC 350 kW, memenuhkan bateri dari 10-80% dalam masa 18 minit, sementara jika menggunakan pengecas AC 22 kW pula cas dari 0% boleh dipenuhkan dalam masa 5.8 jam.

Untuk brek, varian asas Emeya diberikan cakera berdiameter 370 mm bersama angkup empat omboh di hadapan dan cakera 367 mm di belakang. Manakala untuk Emeya S dan Emeya R, ia diberikan brek lebih besar dengan cakera 412 mm dan angkup enam omboh di hadapan bersama cakera 397 mm di belakang. Lotus turut menawarkan tingkat taraf sistem brek seramik karbon dengan angkup 10-omboh untuk Emeya.

Model asas Emeya turut boleh dikenali menerusi pemadanan set rim aloi 20-inci dengan bersama tayar Pirelli P-Zero bersaiz 255/45R20 di hadapan dan 285/40R20 di belakang, manakala Emeya S dan Emeya R menerima set rim aloi forged 21-inci dengan tayar 265/40R21 di hadapan dan 305/35R21 di belakang.

Untuk suspensi, kesemua varian Emeya menerima suspensi udara tiga-kebuk dengan penyerap hentak adaptif yang sangat aktif bagi bertindak balas dan terhadap permukaan jalan dengan pantas. Ia juga menyediakan lima mod pemanduan iaitu Range, Tour, Sport, Individual dan Track bagi melaras talaan suspensi seperti ketinggian dan kekerasan serta mengambil. kira sekali respon pendikit.

Manakala bagi varian Emeya R, ia diberikan Handling Pack secara standard yang merangkumi pemadanan sistem anti-oleng aktif dan juga stereng pada gandar belakang.

Emeya menerima sistem aerodinamik aktif untuk semua varian dengan menampilkan perincian seperti gril hadapan aktif yang dapat memberikan kesan aerodinamik lebih baik ketika ditutup dan menyejukkan bateri serta sistem brek apabila dibuka, dan juga dam angin aktif yang digabungkan dengan diffuser belakang aktif yang memberikan downforce lebih baik pada kelajuan tinggi, serta melancarkan pergerakan udara di bawah kenderaan untuk pengendalian dan pemanduan yang lebih stabil.

Emeya R pula datang standard dengan Carbon Pack yang menrangkumi komponen gentian karbon seperti splitter hadapan, bumbung, penutup cermin sisi, Gurney Flap pada spoiler aktif belakang serta diffuser pada bahagian bawah bampar belakang.

Jika tidak cukup dengan perincian-perincian ini, Lotus turut menawarkan Expanded Pack sebagai opsyen yang menampilkan perincian karbon lain seperti kemasan pada bampar hadapai dan belakang, panel bonet, skrit sisi.

Kabin Emeya ini masih berkongsi banyak perincian yang diambil dari SUV Eletre. Ia diberikan papan pemuka yang direka elemen melintang dan berlapis yang kelihatan bersambung dengan panel pintu, dan juga konsol tengah “terapung”, bersama skrin sesentuh OLED 15.1-inci diletakkan di tengah-tengah papan pemuka.

Sistem infotainmen tersebut menggunakan Lotus Hyper OS yang memberikan kuasa pemprosesas dari unit Qualcomm 8155 system-on-chip. Manakala di hadapan pemandu dan penumpang hadapan masing-masing turut diberikan skrin nipis bersaiz 12.6-inci. Skrin untuk pemandu berfungsi sebagai paparan instrumen yang turut disokong dengan paparan head-up dengan teknologi AR.

Lotus Emeya dilancar di Malaysia – RM555k-RM777k, EV GT 4 pintu sehingga 918PS, 0-100 km/j 2.78 saat!

Kesemua varian Emeya ini menerima sistem audio KEF 1,380-watt yang menampilkan 15-pembesar suara bersama sistem bunyi keliling 3D Dolby Atmos. Namun Lotus turut menawarkan tingkat taraf dengan opsyen sistem audio KEF berkuasa 2,160-watt dengan 23 pembesar suara.

Sebagai sebuah model empat pintu, Emeya juga merupakan sebuah kereta yang praktikal untuk digunakan setiap hari, dan ia menawarkan ruang but belakang sebesar 509 liter. Pembeli boleh memilih untuk memadankan pek Comfort Seat bagi memberikan fungsi pengurut pada empat duduk hadapan dengan lima mod.

Ada juga pilihan opsyen Executive Pack yang memberikan kerusi pengurut pada tempat duduk belakang dan juga skrin untuk kabin belakang bersaiz sembilan-inci yang boleh dilipat sepenuhnya lika tidak digunakan. Tetapi dengan pilihan ini ruang but belakang akan mengecil dengan kapasiti 426 liter.

Emeya turut menggunakan sistem pembatalan bunyi bersepadu atau Road Noise Cancellation (RNC) bagi mengelakkan pemandu terganggu dengan bunyi dari luar. Sistem ini Menggunakan penderia getaran pada bahagian badan kenderaan bagi mengesan pergerakkan pada tayar dan suspensi dan dengan bantuan algoritma khas bagi membatalkan bunyi-bunyi yang tidak di ingini tersebut.

Untuk keselamatan, kesemua varian Emeya menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang dikuasakan oleh cip pemproses Nvidia Drive Orin berkembar. Ia memberikan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, pemantaun titik buta, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang, amaran pelanggaran belakang dan kamera 360-darjah. Sistem bantuan parkir pula ditawarkan sebagai opsyen.

Lotus Cars Malaysia menawarkan pelindungan waranti pengeluar selama lima tahun atau 150,000km, manakala waranti untuk bateri EV ini pula diberikan selama lapan tahun atau 200,000km.

GALERI: Lotus Emeya S pasaran Malaysia

GALERI: Lotus Emeya R pasaran Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required