Selain MG5 GT, ada satu lagi model MG yang dijangka bakal dilancarkan di Malaysia, iaitu MG HS. Ini merupakan sebuah SUV segmen C yang akan bersaing dengan Proton X70, Honda CR-V dan Mazda CX-5.
MG HS yang dimuat kongsikan perinciannya oleh pengedar tempatan itu adalah dalam versi facelift dari model generasi pertama yang sudah berada dalam pasaran sejak 2020 itu kini turut dijual di Indonesia dan Thailand. HS generasi kedua pula telah dipertontonkan pertama kali ketika Goodwood Festival of Speed Julai lalu, namun versi ini mungkin tidak akan tiba di sini dalam masa terdekat.
Dari segi dimensi, MG HS berukuran 4,574 mm panjang, 1,876 mm lebar, 1,664 mm dengan jarak roda 2,720 mm. Di Indonesia, SUV berkenaan menggunakan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder sebaris yang menjana sebanyak 162 PS (160 hp atau 119 kW) pada 5,600 rpm dan 250 Nm tork dari 1,700 hingga 4,400 rpm. Ini digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda depan.
Di Thailand, selain enjin sama, ada juga pilihan untuk versi plug-in hybrid (PHEV) yang menerima tambahan motor elektrik dengan output 122 PS (121 hp atau 90 kW) dan 230 Nm, menjadikan output keseluruhannya ialah 284 PS (280 hp atau 209 kW) dan 480 Nm. Versi ini juga disertakan dengan bateri 16.6 kWh untuk jarak elektrik sepenuhnya sejauh 67 km (NEDC) serta kotak gear EDU II 10-kelajuan (enam untuk enjin, empat untuk motor elektrik).
Varian paling lengkap model ini di negara jiran turut dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu ADAS, yang antaranya terdiri daripada lampu tinggi automatik, amaran perlanggaran depan, brek kecemasan autonomous, kawalan melayar adaptif dengan bantuan kesesakan, amaran penukaran lorong, penghindar penukaran lorong, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang.
Sama seperti MG5 GT, spesifikasi untuk pasaran Malaysia masih belum diketahui, dan perlu tunggu hingga pelancaran rasminya nanti. Sekadar perbandingan, MG HS di Indonesia dijual dengan harga antara 460.8 juta dan 550.8 juta rupiah (sekitar RM130k dan RM156k), sementara di Thailand antara 939,000 dan 1.159 juta baht (RM119k dan RM147k) bagi versi petrol; serta dari 1.299 juta hingga 1.379 juta baht (RM165k hingga RM175k) untuk varian PHEV.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.