Jenama China asyik bawa EV dan SUV ke Malaysia? Ok, ini ada sesuatu yang berbeza – MG Malaysia bakal membawa beberapa lagi model ke pasaran tempatan, dan salah satunya adalah sedan segmen-C yang dijana oleh petrol sepenuhnya iaitu MG5 GT. Ini didedahkan sendiri oleh salah satu pengedar jenama tersebut menerusi hantaran di Facebook.
MG merupakan jenama automotif Britain, namun kini ia sudah dimiliki oleh SAIC Motor dari China. Buat masa sekarang jenama berkenaan telah pun menjual dua buah model EV di Malaysia iaitu MG4 dan ZS.
Untuk MG5 ini, ia dihasilkan dengan dimensi 4,675 mm panjang, 1,842 mm lebar, 1,473 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,680 mm – cukup membolehkan ia bertanding dengan sedan segmen-C lain seperti Honda Civic, Toyota Corolla dan Mazda 3.
Tiada lagi sebarang perincian berkenaan spesifikasi sedan ini. Model ini sebenarnya sudahpun dilancarkan di Indonesia dan Thailand, di mana kedua-dua pasaran ini menerima unit rangkaian kuasa yang menggandingkan enjin 1.5 liter NA berkuasa 114 PS/150 Nm dan juga kotak gear CVT automatik.
Namun di Australia MG5 yang digerakkan dengan unit rangkaian kuasa yang lebih bertenaga iaitu enjin 1.5 liter empat-silinder turbo berkuasa 162 PS dan tork maksima 250 Nm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.
Berdasarkan gambar yang dimuat naik oleh pengedar tersebut, ada beberapa perincian yang boleh kita lihat mungkin ditawarkan pada pasaran Malaysia. Antaranya rim aloi 17-inci, skrin infotainmen bersaiz 10-inci, lampu hadapan LED dan juga paparan instrumen digital sepenuhnya.
Walau bagaimanapun unit yang dipamerkan oleh penegdar ini mungkin masih dalam versi pra-produksi yang mungkin berbeza dengan spesifikasi akhir sebenar nanti.
GALERI: MG5 GT pasaran Indonesia di GIIAS 2024
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.