Polis Johor Bahru Selatan telah mengendalikan operasi bersepadu di Jalan Skudai-Pantai Lido, Johor Bahru yang bermula jam 5 petang pada Ahad baru-baru ini dan berakhir kira-kira 1 pagi Isnin, melibatkan lebih 100 anggota dan pengawai penguatkuasa beberapa agensi, menurut Buletin TV3.
Menariknya, operasi bersepadu tersebut turut menggunakan dua buah bas bagi menghalang atau menyekat pergerakan mat rempit dari melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa di lokasi berkenaan. Menerusi rakaman yang dikongsikan, sekurang-kurangnya seorang penunggang motosikal dapat dicekup, sementara dua lagi penunggang sempat melarikan diri.
Di belakang bas berkenaan, terdapat beberapa lagi kenderaan polis. Malah beberapa motosikal yang ditunggangi anggota penguatkuasa yang memakai baju biasa turut menyekat pergerakan trafik di persimpangan lampu isyarat.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, tindakan itu membuahkan hasil apabila 286 individu bersama 257 buah kenderaan telah diperiksa. Di mana sebanyak 153 saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan termasuk tidak mempunyai lesen memandu, ubahsuai struktur kenderaan dan pelbagai kesalahan lain.
Polis menggunakan dua buah bas bagi menghalang kumpulan samseng jalan raya daripada melarikan diri dalam operasi khas bersepadu membanteras samseng jalanan di jalan pantai Skudai Pantai Lido yang berkahir awal pagi tadi.
Sumber: Video tular pic.twitter.com/6kOjVpSiEm
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) August 26, 2024
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga telah mengeluarkan saman 54 saman mengikut seksyen Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas pelbagai kesalahan. Manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan 46 saman dan 52 notis arah periksa terhadap individu yang menunggang motosikal yang mengeluarkan bunyi melebihi paras yang ditetapkan.
Selain itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan turut menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun kerana positif dadah jenis metahamphetamine setelah menjalani ujian saringan air kencing. Kesalahan disiasat di bawah seksyen 15(1)(a) akta dadah berbahaya 1952. Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM5,000.00 serta menjalani pengawasan polis selama dua tahun.
“Kerjasama dengan agensi-agensi yang terlibat itu merupakan langkah positif dalam memastikan keselamatan dan meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal tentang undang-undang dan peraturan lalu lintas,” katanya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.