BYD telah mencatatkan jualan sebanyak 980,000 unit pada pada suku kedua 2024 iaitu bermula April hingga Jun lalu, membolehkan pengeluar automotif China itu berada di tempat ke-tujuh secara keseluruhan dalam carta jualan kenderaan global, lapor Nikkei Asia yang mengambil data dari firma penyelidikan Marklines.
Jualan tersebut menunjukkan peningkat sebanyak 40% berbanding tempoh sama tahun lalu dengan jualan sebanyak 700,000 unit, ketika itu BYD sudahpun berada di tangga ke-10 memintas Nissan dan Suzuki Motor. Manakala untuk tahun ini, BYD turut telah memintas jualan global satu lagi gergasi automotif Jepun iaitu Honda buat pertama kali.
Laporan ini menyebut peningkatan jualan BYD ini adalah dipacu permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) dengan harga yang lebih mampu milik, dengan momentum jualan di China pada Jun naik sebanyak 35%. BYD turut mencatatkan jualan eksport luar China mencecah 105,000 unit atau sekitar tiga kali ganda dari sebelum ini.
Malah ketika jualan BYD meningkat naik, jualan untuk jenama-jenama besar lain seperti Toyota Motor dan Volkswagen Group mengalami penurunan. Namun Toyota masih kekal sebagai jenama paling laris di dunia dengan jumlah jualan sebanyak 2.63 juta unit.
Honda, seperti diketahui sebelum ini sedang bergelut dipasaran seperti China dengan jumlah penurunan sehingga 40% dan ia turut bakal menurunkan jumlah produksi di Thailand sekitar 30%, semuanya kerana ketiadaan model EV yang boleh bersaing.
Untuk skop yang lebih luas, China telah mengeksport sebanyak 2.79 juta kenderaan untuk tempoh separa tahun ini, atau 780,000 lebih banyak berbanding Jepun. Dua lagi jenama China iaitu Geely dan Chery juga tersenarai dalam carta 20 teratas untuk jualan global April hingga Jun 2024 ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.