KTMB tugaskan polis bantuan untuk rondaan berkala di dalam tren bagi elak isu pencerobohan koc wanita

Isu pencerobohan penumpang lelaki ke dalam koc wanita untuk mana-mana perkhidmatan tren di negara ini memang kerap berlaku terutamanya pada waktu puncak. Ada penumpang lelaki berkenaan memberi alasan, koc biasa penuh hingga memaksanya ‘ceroboh’ koc wanita, dan tak kurang juga yang ‘tidak mahu berpisah’ dengan isteri atau kenalan perempuan yang duduk di koc wanita.

Bagi mengelakkan isu ini terus berleluasa, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengambil inisiatif dengan menugaskan polis bantuan di tren yang menjalankan rondaan secara berkala serta menasihati penumpang mengenai penggunaan koc wanita bagi mengelak berlaku pencerobohan, laporan Berita Harian

Selain itu, KTMB juga masih pada peringkat perbincangan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mengatasi masalah pencerobohan koc wanita. Di mana perbincangan secara berterusan itu masih dijalankan dalam usaha mewujudkan undang-undang, seterusnya tindakan penguatkuasaan, selain mengadakan kempen kesedaran, kata KTMB.

“Kita komited menangani isu pencerobohan koc wanita dengan menempatkan pegawai dan kakitangan polis bantuan yang kerap menjalankan rondaan secara berkala di tren untuk memastikan tidak ada lelaki menceroboh koc wanita.

“Koc wanita ini diperkenalkan KTMB pada 2010 untuk memenuhi keselesaan dan keselamatan penumpang wanita dan ini termasuk di tempat menunggu yang tertera pelekat ‘Wanita Sahaja’. Selain usaha pemantauan berterusan oleh KTMB, kami juga menggesa orang ramai membantu mengingatkan antara satu sama lain berkenaan manfaat dan kepentingan koc wanita kepada semua penumpang,” kata KTMB.

Beberapa hari lalu, seorang pengguna Facebook, Sheahnee Iman Lee memuat naik hantaran mengenai kejadian buruk menimpa ibunya yang berusia 72 tahun yang merupakan warga Australia terapi telah menetap di Malaysia lebih 50 tahun, di koc wanita ketika dalam perjalanan dari Stesen Bukit Badak ke Stesen Shah Alam.

Dalam kejadian itu, ibunya telah menegur sekumpulan remaja lelaki yang berada di koc wanita, tetapi sebaliknya dimarahi mereka. Malah ibunya dikasari turut kumpulan berkenaan dan mengatakan mereka layak berada di koc itu kerana mereka adalah rakyat Malaysia. Namun kumpulan terbabit segera beredar ke koc normal setelah menyedari aksi mereka dirakam.

Susulan itu, KTMB memaklumkan, Unit Khidmat Pelanggan KTMB sudah menghubungi Iman Lee dan menjelaskan koc wanita diperkenalkan untuk menyediakan persekitaran selamat untuk wanita menggunakan perkhidmatan Komuter KTM. “Penumpang turut dinasihati menggunakan butang interkom atau menghubungi polis bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 jika berlaku sebarang kecemasan,” katanya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required