Kita baru sahaja pulih dari pandemik Covid-19, di mana wabak berkenaan telah menyebabkan beribu-ribu orang kehilangan nyawa. Namun tahukah anda jumlah kematian yang disebabkan oleh kemalangan jalan raya sebenarnya adalah lebih tinggi dari Covid-19?
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam laporan Astro Awani, jumlah kematian akibat nahas jalan raya di Malaysia kini pada tahap membimbangkan dan ia melebihi jumlah kematian akibat virus Corona tersebut.
Zahid menegaskan bahawa usaha mencegah kemalangan jalan raya bukan hanya melibatkan peranan Kementerian Pengangkutan semata-mata, sebaliknya ia harus membabitkan kerjasama antara pelbagai agensi.
“Atas sebab itu, lebih banyak usaha perlu dibuat untuk meningkatkan kesedaran awam sebagai langkah pencegahan terutama apabila melihat statistik kemalangan jalan raya berkenaan.
“Malaysia antara negara di Asia Tenggara yang berdepan isu ini terutama melibatkan penunggang motosikal walaupun kadar kematian per 100,000 orang menurun daripada 27 peratus pada 2000 kepada 22.5 peratus pada 2019, ia tetap antara tertinggi di dunia,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (Kereta) 2024 di Putrajaya semalam.
Beliau turut berkongsi satu lagi statistik yang membimbangkan di mana lebih daripada 6,000 kematian akibat nahas membabitkan penunggang motosikal setiap tahun. Menurutnya dengan jumlah kematian tersebut, jika disatukan mereka yang maut dalam satu kawasan ia adalah umpama mempunyai kawasan perkuburan hampir sama dengan keluasan enam padang bola.
Atas faktor tersebut, Zahid menegaskan bahawa ini adalah sebab utama mengapa kerajaan memperkenalkan dasar semua motosikal baharu dengan enjin berkapasiti 150cc dan ke atas wajib memiliki sistem brek anti-kunci (ABS) bermula 1 Januari tahun depan.
Rentetan itu, beliau berharap insiatif diambil kerajaan dapat mengurangkan kadar nahas jalan raya terutama membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal memandangkan mereka menjadi penyumbang besar iaitu 65 peratus daripada jumlah kematian nahas tahun lalu.
Dalam acara yang sama juga Zahid menyatakan bahawa kerajaan turut bercadang untuk menurunkan had laju di kawasan sekolah kepada 30 km/j berbanding 40 km/j buat masa sekarang. Sekiranya langkah ini membuatkan hasil, ia akan turut diperluaskan di kawasan lain.
Dalam masa sama Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut memuji langkah proaktif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan menggalakkan pekerja yang menggunakan motosikal untuk mencarum. Beliau menjelaskan, sumbangan di bawah Perkeso itu penting dalam memastikan kebajikan penunggang terjamin sekiranya terlibat kes kemalangan jalan raya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.