Tiga tahun selepas beralih kepada Tesla Vision kamera sahaja untuk sistem bantuan pemandu Autopilot, Tesla kini memperkenalkan kembali fungsi parkir automatik tanpa pemandu Smart Summon, yang kini turut dinamakan semula sebagai Actually Smart Summon (ASS).
Menurut laporan Electrek, ciri ini telah ditambah kepada beberapa kenderaan Tesla Vision terpilih melalui kemas kini 2024.27.20, nersama ciri bantuan letak kereta kawalan jauh Summon yang kini dipanggil sebagai Dumb Summon. Kenyataan yang dikeluarkan memberitahu, ia masih berfungsi seperti sebelum ini, dengan pengguna boleh menetapkan lokasi dalam aplikasi Tesla, dan tekan skrin telefon supaya kenderaan boleh bergerak sendiri. Apabila skrin dilepaskan, kenderaan akan berhenti.
Tesla memberitahu, mereka mahu menambah integrasi dengan HomeLink dan kawalan pintu garaj myQ, serta meningkatkan lagi jarak gerak kenderaan tanpa pemandu. Tesla juga mahu membuat sesuatu yang tidak memerlukan pengguna menekan skrin telefon sepanjang masa. Sebagai makluman, kedua-dua fungsi Dumb Summon dan ASS ini masih dalam fasa beta, dan Tesla memberi amaran bahawa pengguna masih bertanggungjawab sepenuhnya dan perlu memerhati kenderaan mereka sepanjang masa.
Tesla Actually Smart Summon going to wide release next week! https://t.co/OKNlTKFuCJ
— Elon Musk (@elonmusk) September 3, 2024
Dalam satu muatan di X, Elon Musk memberitahu, ASS akan dikeluarkan kepada umum minggu hadapan, memberi petunjuk ia akan dimasukkan kepada semua kenderaan Tesla Vision pada waktu itu. Sebelum ini, Musk pernah memberitahu, fungsi itu akan dikeluarkan untuk umum pada September 2022.
Perlu kami beritahu bahawa kedua-dua Summon dan Smart Summon ini tidak pernah diaktifkan untuk pasaran Malaysia, sama seperti fungsi Full Self Driving (pilihan tambahan berharga RM32,000). Kami jangkakan perkara sama berlaku pada Dumb Summon dan ASS, tetapi memandangkan Musk menggunakan ayat “wide release‘, harapan itu masih ada.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.