Jenama di bawah kumpulan Geely, Livan bakal menawarkan SUV tujuh-tempat duduk janaan bateri-elektrik baharu untuk pasaran Indonesia, dengan membawa masuk Livan 9, berdasarkan perkongsian Anastasya Mukti menerusi paultan.org Automotive/Car Discussion Group di Facebook.
Livan 9 merupakan BEV yang dibangunkan berasaskan Geely Haoyue dan juga boleh diibaratkan seperti Proton X90, dan menurut perkongsian terbabit, Livan 9 berukuran 4,845 mm panjang, 1,890 mm lebar dan memiliki jarak roda mencecah 2,825 mm. Sebagai perbandingan, Proton X90 berukuran 4,830 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,764 mm tinggi dengan jarak roda 2,805 mm.
Menurut sumber, Livan 9 akan ditawarkan dengan dua pilihan kapasiti bateri iaitu 52.56 kWh dan 66.57 kWh, dengan kedua-duanya merupakan unit NMC buatan CATL. Dengan bateri ini, masing-masing menawarkan jarak gerak hingga 380 km dan 470 km mengikut ujian standard domestik China CLTC. Selain itu, motor tunggalnya pula memberikan kuasa hingga 204 PS dan tork 310 Nm dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan.
Berkenaan dengan namanya, jenama Livan akan dijual sebagai Aletra di Indonesia, dan beroperasi di bawah PT Sinar Armada Globalindo (PT SAG). Pada bulan lalu, telah didedahkan jenama Aletra ini sedang membuat persiapan untuk melancarkan MPV elektrik di Indonedia, salah satunya berasaskan Geely/Livan Maple 80V L, di mana ia merupakan versi elektrik bagi Geely Jiaji L.
Jenama Livan ini sebenarnya masih baru, ditubuhkan pada tahun 2022 hasil gabungan antara Geely kepunyaan Shanghai Maple dengan Lifan Technology, dan menjalin kerjasama antara Lifan Group dan Geely Qizheng (dimiliki oleh Zhejiang Geely Holding).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.