Selain melancarkan BYD Seal Dynamic RWD dalam acara Sime Darby Motors Automania 2024 yang sedang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sime Darby Beyond Auto selaku pengedar rasmi BYD di Malaysia, turut memperkenalkan model Atto 3 Extended Range (ER) 2024 yang dipertingkatkan. Ia adalah bagi menggantikan varian SR yang diumumkan pada Mei lalu.
Varian ER ini ditawarkan dengan dengan kapasiti bateri yang lebih besar dan jarak gerak yang lebih jauh. Walau pun terdapat ciri yang dipertingkatkan, namun tiada perubahan harga dilakukan, dan Atto 3 ER 2024 berharga atas jalan RM149,800 tanpa insurans.
Walau bagaimana pun, ia masih menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama seperti model sebelumnya iaitu motor elektrik tunggal memacu roda hadapan berkuasa 204 PS (150 kW) dan tork maksima 310 Nm. Walau bagaimana pun bateri Blade litium logam fosfat (LFP) yang menjana motornya telah dipertingkatkan kapasiti mencecah 60.48 kWh (berbanding sebelum ini hanya 49.92 kWh) yang membolehkan SUV EV ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat, dan bergerak sejauh 480 km dalam kitaran NEDC.
Atto 3 ini menyokong input AC (Type 2) dengan kadar maksimum 7 kW untuk mengecas. Sistem pengecas pantas DC (CCS2) juga diberikan dengan kadar maksimum 88 kW (berbanding 70 kWh sebelum ini). Fungsi vehicle-to-load (V2L) untuk membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik lain juga masih dikekalkan.
Model 2024 ini boleh dikenali dengan kemasan perapi tiang paling belakang yang kini berwarna hitam berbanding perak pada model sebelum ini. Tulisan ‘Build Your Dream’ pada pintu tailgate belakang juga kini sudah digantikan dengan hanya logo BYD.
Atto 3 ER 2024 ini turut diberikan rim aloi baru 18-inci (sebelum ini 17″), lampu hadapan LED dengan fungsi adaptif, lampu belakang LED, tailgate dengan butang satu sentuhan untuk membuka/menutup dan bumbung panaromik.
Ciri baharu lain yang turut diberikan ialah bentangan kabin dengan rona gelap termasuk papan pemuka berwarna hitam, tempat duduk rona hitam dan biru gelap dengan kemasan merah, lapan pembesar suara (enam unit sebelum ini) serta pencahayaan ambien pemegang pintu yang kini diberikan kepelbagaian warna dengan ritma muzik.
Selain itu, ia masih mengekalkan ciri sedia ada iaitu instrumen digital dengan skrin utama yang boleh diputar kini bersaiz 15.6-inci, paparan skrin lima-inci, upholsteri kulit sintetik, sistem pendingin hawa automatik, sokongan Android Auto menggunakan wayar dan Apple CarPlay tanpa wayar, pengecas tanpa wayar dan penapis udara kabin N95.
Manakala untuk keselamatan, Atto 3 ini masih menerima enam-beg udara bersama tambahan beg udara tengah untuk pemandu, bantuan menurun celrun, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera pemantau 360-darjah, brek auto-hold, brek kecemasan automatik dengan amaran pelanggaran hadapan, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, amaran pelanggaran belakang, pemantau titik buta, amaran buka pintu dań amaran lintasan trafik belakang.
Pelanggan masih boleh memilih warna badan Surf Blue, Ski White dan Boulder Grey bagi model 2024 ini, namun warna Forest Green dan Parkour Red telah digugurkan dan digantikan dengan warna Cosmos Black baharu. Bagi warna badan Cosmos Black dan Boulder Grey, ia akan dipadankan dengan dalaman dengan tema warna Hitam/Biru Gelap menggantikan pilihan Eclipse Blue/Hazy Grey sebelum ini. Manakala warna badan Ski White dan Surf Blue pula akan menerima tema warna kabin Biru Gelap/Kelabu Cerah.
Pembelian BYD Atto 3 2024 ini turut didatangkan dengan waranti pengeluar selama enam-tahun/150,000 km, bersama waranti bateri Blade selama lapan-tahun/160,000 km. Manakala motor elektrik, pengawal motor dan pemasangan kawalan elektrik pada modul pemanduan SUV EV ini pula menerima perlindungan waranti selama lapan-tahun/150,000 km.
Pelanggan juga boleh memilih untuk menambah pakej servis yang disediakan dalam dua pilihan, iaitu pakej Standard berharga dari RM1,688 sehingga RM4,888 untuk tempoh tiga-tahun/60,000 km hingga lapan-tahun/160,000 km, atau pakej Plus berharga dari RM11,688 sehingga RM17,688 dengan tempoh penyelenggaraan lebih lama iaitu dari enam-tahun/120,000 km sehingga lapan-tahun/160,000 km, serta diberikan lebih banyak barangan servis.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.