PANDU UJI: Honda City Hatchback facelift 2024 taruhan gaya menawan; sensasi prestasi dikekalkan

PANDU UJI: Honda City Hatchback facelift 2024 taruhan gaya menawan; sensasi prestasi dikekalkan

Kehadirannya di pasaran memang sebagai menggantikan Honda Jazz, namun sejak dilancarkan pada tahun 2022, Honda City Hatchback di Malaysia tidaklah diibaratkan sebagai ‘pisang goreng panas’, seperti yang pernah dikecapi Jazz. Walau pun popularitinya berskala biasa, namun ia tetap ada daya tarikan yang tersendiri.

Pada Mei tahun ini, Honda Malaysia telah melancarkan versi facelift terkini bagi City Hatchback dengan menawarkan lima varian iaitu paling asas adalah S berharga RM85,900, diikuti E (RM90,900), V (RM95,900), varian baharu RS (RM100,900) dan e:HEV RS pula ditawarkan pada harga RM112,900. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

Bagi varian tanpa hibrid, ia dijanakan oleh enjin 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris DOHC i-VTEC dengan hamburan kuasa 121 PS (119 hp atau 89 kW) pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm, dengan pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT.

PANDU UJI: Honda City Hatchback facelift 2024 taruhan gaya menawan; sensasi prestasi dikekalkan

Manakala bagi varian e:HEV RS, ia masih dilengkapi dengan sistem hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang sama, dengan roda hadapannya dipacukan oleh motor elektrik berkuasa 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan tork 253 Nm.

Motor elektrik itu dikuasakan oleh bateri lithium-ion yang dicas oleh motor elektrik kedua yang disambungkan ke enjin 1.5 liter naturally-aspirated DOHC i-VTEC empat-silinder Atkinson yang mampu menghamburkan kuasa hingga 98 PS (80 kW) pada 5,600 hingga 6,400 rpm dan tork cecah 127 Nm pada 4,500 hingga 5,000 rpm. Pacuan kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transimisi satu-kelajuan (digelar E-CVT).

Walau pun tiada perubahan yang dilakukan untuk penjana kuasanya, namun kami tetap memandu ujinya. Baca kisah selanjutnya menerusi pengalaman kami mengendalikan jentera yang Honda dakwa sebagai The Coolest Hatcback ini.

PANDU UJI: Honda City Hatchback facelift 2024 taruhan gaya menawan; sensasi prestasi dikekalkan

Sebelum kita bercerita pengalaman mengendalikan City Hatchback ini, pasti ada yang mahu tahu, apakah perubahan yang dilakukan untuk versi facelift ini. Saiznya masih sama iaitu berukuran 4,350 mm panjang (dua varian RS dengan 4,369 mm), 1,748 mm lebar, 1,488 mm tinggi dan jarak roda pula 2,600 mm. Manakala ruang but juga kekal dengan kapasiti 289 liter dengan kedudukan tempat duduk normal.

Perubahan yang dilakukan adalah untuk bahagian luaran dan kabinnya. Untuk penggayaan luarannya, ia diberikan sentuhan yang lebih segar di mana rekaannya berbeza berbanding City sedan yang menerima kemaskini pada Ogos tahun lalu.

Bagi varian yang kami uji iaitu e:HEV RS, ia menampilkan rekaan yang lebih dinamik dan sporty termasuk palang hitam yang lebih nipis pada sudut atas gril. Selain itu, bampar baharunya kini didatangkan dengan kemasan lampu kabus LED yang lebih tajam mengapit jejaring honeycomb pada corong intake dengan tambahan saluran udara. Ditambah dengan padanan lampu utama automatik LED, lampu nyalaan siang (DRL) LED, dan juga antena shark fin menyerlahkan lagi penampilan varian tertinggi ini.

Di bahagian belakang, lampu kombinasi LED baharu dan bampar dengan hiasan di bawah diberikan. Varian ini juga menerima rim aloi 16-inci dibaluti tayar 185/55R 16 dengan kemasan Berlina Black yang juga antara ciri baharu untuk City Hatchback ini.

Manakala untuk ruang kabinnya, tidak banyak perubahan yang dilakukan, kelihatan sama dengan City Sedan. Pada papan pemukanya, ia masih kekal ringkas dan bentangan panel hitamnya diserlahkan dengan jaluran merah merintang dari bawah corong udara di bahagian tengah hingga ke hujung.

Tempat duduk balutan kulit yang cukup selesa juga diserlahkan dengan jahitan merah, begitu juga jahitan kontras dari rona yang sama pada roda stereng. Sentuhan yang menampakkan gaya sporty.

Seperti yang dimaklumkan, hanya sedikit perubahan sahaja dilakukan pada bahagian dalam City Hatcback 2024 ini iaitu varian e:HEV kini menerima soket pengecas yang ditukar kepada unit USB-C, dan terdapat poket kecil di bahagian belakang tempat duduk hadapan.

Ciri kelengkapan lain yang diberikan termasuklah walk away auto lock, kemasukan pintar dengan butang penghidup enjin, butang ECON, meter kluster TFT tujuh-inci dan pendingin hawa tunggal automatik dengan corong untuk tempat duduk belakang.

Selain itu, varian tertinggi ini juga diberikan Remote Engine Start, suis kawalan audio untuk roda stereng, konsol tengah dengan perehat tangan, serta ketersambungan tanpa wayar bagi Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk sistem bantuan pemandu, semua varian bagi City Hatchback facelift ini didatangkan dengan kelengkapan Honda Sensing secara standard, termasuk dengan ciri baharu iaitu notifikasi ketibaan kenderaan hadapan. Ciri berkenaan menyertai fungsi sedia ada termasuk brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan kenderaan di hadapan, amaran pelanggaran hadapan, sistem brek mitigasi pelanggaran, kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, amaran ketibaan lorong dan lampu tinggi automatik. Varian e:HEV RS juga menerima ciri tambahan low-speed follow untuk fungsi kawalan kelajuan adaptif.

Ciri standard lain termasuk enam beg udara, bantuan kestabilan kenderaan, ABS, EBD, penahan brek auto, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan, ISOFIX jenis I-Size, dua penderia undur dan penderia kamera pelbagai-sudut. Selain ciri tambahan yang lebih padu iaitu Honda LaneWatch Camera dan dua varian tertinggi juga diberikan Honda Connect yang turut diberikan untuk varian tertinggi.

Diberi kesempatan untuk melenjan varian e:HEV ini sebenarnya agak menyeronokkan, apatah lagi melayan ‘jalan dalam’ dari Kuala Lumpur menuju ke Ipoh, termasuk melalui jalan banyak selekoh di Ulu Yam, Batang Kali menuju Kuala Kubu Bahru dan masuk pula ke Tanjung Malim sebelum menuju ke Ipoh.

PANDU UJI: Honda City Hatchback facelift 2024 taruhan gaya menawan; sensasi prestasi dikekalkan

Dengan enjin yang diberikan untuk varian ini, ia memang tak teragak-agak untuk memuntahkan tenaga apabila diperlukan. Kuasanya pantas menjelma tanpa perlu menekan pedal pendikit hingga ke lantai kenderaan. Kalau ikutkan risalah spesifikasinya, varian ini mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 9.7 saat, berbanding varian tanpa hibrid dengan 10.7 saat. Namun kelajuan tertinggi e:HEV sekitar 177 km/j, jika dibandingkan dengan varian lain yang mampu mencapai 194-195 km/j.

Mengapa ia macam tak sepadu varian tanpa hibrid? Jawapannya cukup mudah. Ini kerana sistemnya diperbuat untuk memberikan lebih kecekapan dan penjimatan bahan api. Walau bagaimana pun, karakteristik enjin hibrid yang lebih senyap tetapi dalam diam itulah ia meningkatkan skala kelajuan di bawah pecutan. Pergerakan gear juga senyap, itulah kelebihan yang ada pada e-CVT.

Mengikut risalah spesifikasi Honda, varian e: HEV ini mampu memberikan penjimatan bahan api sekitar 3.7 liter bagi setiap 100 km. Berbanding varian tanpa hibrid yang dianggarkan menggunakan sekitar 5.6 liter untuk setiap 100 km. Mengikut pengalaman pandu uji ini, apabila sampai di Banjaran Hotsprings Retreat Ipoh, penggunaan bahan api tidak sampai setengah tangki (40 liter untuk satu tangki penuh), bagi perjalanan lebih kurang 220 km (perjalanan bermula dari Bukit Damansara).

PANDU UJI: Honda City Hatchback facelift 2024 taruhan gaya menawan; sensasi prestasi dikekalkan

Bagi aspek pengendaliannya, ia memang mampu memberikan keselesaan yang optima. Malahan tidak dinafikan pengendaliannya juga ada memberikan rasa sporty, terutamanya ketika mengendalikannya di laluan yang berselekoh. Memang syok juga dibuatnya. Walau bagaimana pun, untuk varian e:HEV ini tidak disediakan paddle shifter, tidak seperti varian lain tanpa hibrid.

Malahan casis juga memberikan respons yang secukup rasa dan neutral. Untuk versi facelift ini, ia masih mengekalkan sistem suspensi dengan topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan palang torsion di belakang. Walau pun kawalan roda stereng bersifat sederhana, namun ia mudah bersepadu dengan pengendalian mengikut situasi jalan dan pemanduan. Sistem brek juga cemerlang, apatah lagi dengan adanya bantuan Honda Sensing termasuk brek kecemasan sendiri (AEB) dan sistem brek mitigasi pelanggaran.

Kelemahan yang agak ketara ialah geseran bunyi tayar yang menyentuh permukaan jalan agak bising, menyerap masuk ke dalam kabin. Mungkin ini kelemahan dari sudut isolation atau pun penebat bunyi yang kurang mencukupi untuk menangkis bunyi bising dari luar daripada memasuki kabin.

Dengan harga yang yang ditetapkan iaitu RM112,900 untuk e:HEV RS, bagi anda yang mungkin agak bosan dengan kereta sedan, dan tidak berminat untuk mendapatkan SUV, tetapi ‘berjiwa muda’, hatchback ini antara pilihan yang relevan untuk dipertimbangkan. Dengan gayanya yang makin hensem, penjana kuasa hibrid yang mencukupi dan pengendaliannya yang boleh dikatakan agak menyeronokkan, boleh dijadikan bonus untuk City Hatchback ini.

Menambahkan lagi bonusnya, varian ini diberikan waranti lapan-tahun tanpa had perbatuan untuk baterinya. Selain waranti lima-tahun tanpa had perbatuan dan kos buruh percuma (terhad untuk lima kali servis dalam tempoh 100,000 km atau lima-tahun). Apa kata anda? Mahu masukkan City Hatchback ini dalam senarai kereta idaman?


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required