Volvo C40 Recharge merupakan SUV versi lebih sporty berbanding XC40 yang menampilkan bumbung yang direka seakan coupe. Walaupun dalam keadaan standard ia sudah cukup memukau, Volvo Cars Malaysia masih menawarkan pelbagai aksesori asli untuk SUV ini bagi menjadikan ia lebih ‘mengancam’ dan pemilik dapat mentransformasi C40 mereka untuk kelihatan lebih tersendiri.
Unit yang anda lihat ini merupakan C40 Recharge yang datang dalam warna badan Onyx Black serta telah dilengkapi dengan pelbagai aksesori asli yang bernilai RM43k, dan ia kini sedang dipamerkan di Sime Darby Motors AutoMania yang berlangsung di Tempat Parkir B Stadium Nasional Bukit Jalil bermula hari ini hingga Ahad.
Aspek yang paling menonjol pada C40 ini sudah tentu pada set rodanya yang telah ditingkat taraf menggunakan rim aloi berdiamter 20-inci dalam kemasan hitam bagi menggantikan rim 19-inci standard. Rim tersebut dibalut dengan tayar Pirelli P Zero Elect dengan saiz 235/45R20 di hadapan dan 255/40R20 di belakang.
Turut diberikan dalam pakej aksesori tersebut termasuk pemijak sisi aloi dengan getah pada bahagian yang dipijak, dan juga cermin pandang belakang digital pada sebelah dalam kabin.
Awal tahun ini Volvo C40 Recharge telah menerima tingkat taraf untuk versi 2024. Ia kini menerima bateri lebih besar berkapasiti 82 kWj berbanding 78 kWj sebelumnya ini. Bateri baharu tersebut membolehkan jarak geraknya dengan satu cas penuh mencapai 550 km, naik 100 km berbanding versi sebelumnya itu.
Selain daripada itu, bateri baru ini juga boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 200 kW (sebelum ini 150 kW), membolehkan kadar cas dari 10-80% dipenuhkan dalam masa hanya 28 minit.
Kuasa keseluruhan C40 Recharge 2024 ini masih lagi berjumlah 408 PS/670 Nm, namun agihan kuasa versi kemaskini ini lebih banyak dialirkan pada roda belakang – ia diberikan motor elektrik berkuasa 159 PS di hadapan dan 249 PS di belakang, berbanding 204 PS untuk kedua-dua unit sebelum ini. Padanan ini membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat.
Model 2024 ini juga kini datang dengan lampu utama Pixel LED dengan teknologi matriks bagi menggantikan lampu reflektor LED sebelumnya. Lampu baharu ini menampilkan 84 LED individu pada setiap unit dan diberikan fungsi lampu tinggi adaptif.
Walaupun dengan semua penambahan ini, harga C40 Recharge masih lagi kekal sama, iaitu RM288,888 (atas jalan tidak termasuk insuran). Setiap pembeliannya diberikan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan, jaminan bateri lapan tahun atau 160,000 km, pakej servis lima tahun atau 100,000 km, bantuan tepi jalan selama lima tahun, serta langganan Servis Digital untuk akses kepada Google Assistant, Google Maps, Google Play Store dan aplikasi Volvo Cars untuk fungsi kawalan jauh secara perfume juga selama lima tahun.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.