Isnin lalu bersempena dengan pembukaan pusat pameran baru di Johor Bahru, Ducati Malaysia melancarkan Hypermotard 698 Mono, yang ditawarkan dalam dua varian iaitu standard pada harga RM70,900 dan RVE berharga RM77,900.
Disebabkan keadaan di sana yang agak sesak, kami tidak dapat memberikan anda gambar motosikal sebenar dan sekarang barulah kami dapat tunjukkan unit yang dipamerkan di Ducati Petaling Jaya. Jika berminat, anda boleh ke sana untuk melihatnya sendiri, dan melalui maklumat yang kami dapat, kumpulan pertama yang masuk di Malaysia sudah habis dijual dan menunggu untuk kumpulan kedua yang akan tiba pada bulan hadapan.
Membawa karekter sebuah supermotard, model ini dipacu oleh enjin baru Superquadro Mono, yang berkapasiti 659 cc, dengan teknologi injap Desmodromic dan injap intake titanium, menghasilkan kuasa 77.5 hp pada 9,750 rpm dan tork 64 Nm pada 8,000 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan dengan klac jenis slipper.
Menjadikan tunggangan Hypermotard 698 Mono ini lebih mengujakan, ia cuma mencatat berat 151 kg, dan mempunyai pelbagai teknologi yang diambil daripada model Ducati yang lebih tinggi, seperti Cornering ABS, Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), Engine Brake Control (EBC) dan Ducati Power Launch (DPL).
Ini adalah tambahan kepada empat mod tunggangan yang disediakan, serta beberapa lagi ciri yang dapat membantu penunggang seperti pelarasan kuasa enjin tiga tahap, ABS empat tahap (dua dengan fungsi Slide-By-Brake dan satu hanya mengaktifkan ABS pada roda hadapan sahaja) dan Wheelie Control empat tahap (perisian Ducati Performance dengan Wheelie Assist untuk bantuan wheelie lebih lama dijual secara berasingan).
Hypermotard 698 Mono ini datang dengan rim aluminium 17 inci, yang dipegang oleh suspensi yang terdiri daripada fork USD Marzocchi 45 mm boleh laras sepenuhnya di hadapan dan monoshock Sachs boleh laras sepenuhnya di belakang. Brek pula terdiri daripada unit tunggal cakera 330 mm dengan angkup Brembo M4.32 empat piston di hadapan dan cakera 245 mm dengan angkup satu piston di belakang.
Tangki bahan api Hypermotard 698 Mono mempunyai kapasiti 12 liter dan untuk versi RVE, ia datang dengan grafik khas serta quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear. Jika ini masih tidak cukup, anda juga boleh menambah pakej prestasi yang termasuk ekzos Termignoni, talaan khas serta Wheelie Assist, yang dijual secara berasingan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.