Triumph akan memperkenalkan sebuah model baru tidak lama lagi dan teaser untuknya sudah mula disiar di dalam media sosial. Bayangan utama yang wujud adalah ini model prestasi dalam barisan moden klasik mereka, berdasarkan bentuk tangki serta lencana RS yang terdapat padanya.
Biasanya model prestasi seperti ini akan dikeluarkan untuk model yang lebih tinggi, jadi kami menjangkakan ia daripada kategori 1200. Untuk mengatakan ia adalah Thruxton 1200 mungkin tidak, kerana bar pemegangnya masih terletak di atas dan bukannya jenis clip-on.
Jadi, yang tinggal adalah Speed Twin 1200. Dalam keadaan standard, model ini datang dengan enjin dua silinder selari 1,200 cc penyejukan udara berkuasa 100 PS, serta kelengkapan berspesifikasi tinggi seperti brek Brembo M50 di hadapan.
Bagi dua bahagian ini, ia kelihatan sama seperti yang digunakan pada model dalam teaser dan kita boleh menjangkakan bahagian lain dipertingkat untuk menaikkan prestasinya. Suspensi contohnya, yang menggunakan fork Marzocchi dan dua penyerap hentak di belakang mungkin dinaik taraf kepada unit yang berprestasi serta boleh dilaras. Lagipun, di dalam teaser itu, fork yang digunakan berwarna emas.
Kelengkapan lain yang datang dengan Speed Twin 1200 adalah termasuk rim aluminium 17 inci, meter analog berbentuk bulat, transmisi enam kelajuan serta tangki bahan api 14.5 liter. Di Malaysia, model ini dijual pada harga bermula RM77,000 tidak termasuk insurans.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.