Selain Honda City SE, Honda Malaysia turut memperkenalkan WR-V Special Edition. Sama seperti City SE, WR-V SE ini turut ditawarkan hanya 99 unit sahaja, dan ditambah dengan pakej aksesori Modulo, tanpa ada kos ekstra.
WR-V SE ini secara asasnya adalah varian RS, yang dijual pada harga atas jalan RM107,900 tanpa insurans. Tidak seperti City SE yang hanya akan memasuki bilik pameran pada minggu hadapan, WR-V SE ini telah pun dipamerkan.
Ciri kelengkapan luaran yang diberikan kepada WR-V RS membolehkannya menjadi SE ini ialah spoiler di bawah hadapan Modulo, spoiler di bawah bahagian belakang dan spoiler sisi serta mendapat kemasan paip ekzos baharu. Ketika dilancarkan pada tahun lalu, pek komponen ekstra ini ditawarkan pada harga RM3,175, namun untuk unit SE ini, tiada sebarang kos tambahan dikenakan.
Di dalamnya, SE ditambahkan dengan kemasan pemijak tepi, perakam video digital hadapan, dan penutup panel lining di belakang, bersama lencana SE di belakang. Juga sama seperti City SE, WR-V SE ini juga hanya ditawarkan dengan satu warna luaran sahaja iaitu Stellar Diamond Pearl.
Selain daripada itu, tiada perubahan lain termasuk bahagian mekanikalnya. WR-V masih dijanakan enjin yang sama, seperti City iaitu unit L15ZF 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris DOHC i-VTEC dengan tujahan kuasa 121 PS (119 hp atau 89 kW) pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT.
Spesifikasi untuk SUV ini dalam versi RS masih dikekalkan, termasuk gril berkotak-kotak krom, roda aloi dua-tona 17-inci dibaluti tayar 215/55 dan kemasan/jahitan kontras merah pada tempat duduk balutan kombinasi kulit/fabrik.
Kelengkapan standard untuk semua varian termasuk skrin sesentuh Digital Audio tujuh-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem kamera sisi Honda LaneWatch, dua port USB di hadapan, kamera undur pelbagai-sudut, dan dua penderia parkir belakang.
Manakala varian tertinggi termasuk RS turut diberikan lampu utama LED, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan LED serta sistem kawalan suhu automatik zon-tunggal dan perehat tangan tengah di tempat duduk belakang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.