Perhatian untuk pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). Tidak lama lagi, kamera baharu pengesan kelajuan Automated Awareness Safety System (AWAS, sebelum ini dikenali sebagai AES) bakal beroperasi di laluan Bukit Beruntung – Sg Buaya arah selatan di lebuhraya berkenaan. Atau lokasi paling tepatnya iaitu di KM 431.55.
Ia diumumkan oleh PLUS melalui pengumuman keselamatan baru-baru ini, mengatakan bahawa ujian ‘Hari 0’ untuk penyepaduan tapak dan penentukuran kamera AWAS dengan pelaksanaan penutupan lorong.
Kamera ini menggunakan peranti Ekin Spotter baharu, bagi menggantikan kamera AES Redflex yang telah digunakan lebih sedekad. Sebelum ini, JPJ berkata, penggantian kamera lama adalah disebabkan masalah kerosakan besar dan ia tidak lagi tidak mendapat sokongan daripada pihak pengeluarnya.
Kamera baharu ini telah pun dipasang dan diuji berdekatan KM17.2 Lebuhraya ELITE menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Walau pun beerbentuk tiang hitam, ia memiliki Automated Number Plate Recognition (ANPR) dengan kelengkapan kamera jalan modular yang boleh ditugaskan dengan beberapa fungsi berbeza melalui pemasangan beberapa modul berlainan.
Menurut JPJ, dalam peranti yang digunakan sebagai kamera had laju ini, antara elemen lain yang dapat dilihat turut melengkapinya ialah sensor kelajuan, lampu flash putih serta module kamera peninjau. Turut ditawarkan untuk Ekin Spotter ialah modul untuk lampu beacon dan bandar, pembesar suara, antena serta hotspot wifi. Menurut laman web Ekin, peranti Spotter ini mampu menjalankan tinjauan berkualiti tinggi untuk siang dan malam, serta mampu meninjau kawasan yang lebih luas dan merakam video beresolusi tinggi.
Pada Jun 2023, kerajaan berkata, akan memasang lebih banyak kamera AWAS untuk meningkatkan penguatkuasaan lalu lintas. Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan tahap pematuhan pengguna jalan raya kepada peraturan had laju dan isyarat lalu lintas di lokasi pemasangan kamera itu telah mencecah sehingga 99%.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.