Pasaran Malaysia akan bertambah meriah dengan pilihan untuk peminat motosikal apabila melalui maklumat yang kami terima, jenama X-Wedge juga akan masuk ke Malaysia tahun hadapan melalui syarikat MForce Bike Holdings Sdn Bhd.
X-Wedge ini memang adalah satu jenama baru, mula membuat kemunculan pada tahun lepas, tetapi mereka yang berada di sebaliknya bukanlah baru dalam industri. Ia adalah satu syarikat kerjasama Kiska (pereka untuk jenama seperti KTM, Husqvarna, CFMoto dan pelbagai lagi), serta Huansong Industrial Group yang sebelum ini merupakan pengeluar barangan enjin aftermarket untuk Harley-Davidson.
Melalui gambar yang kami sediakan di bawah, anda boleh melihat sendiri, kebanyakan motosikal keluaran X-Wedge ini membawa bukan sekadar konsep, tetapi juga rekaan yang mirip kepada motosikal Harley-Davidson. Selain model cruiser biasa, mereka juga ada mengeluarkan model yang menggunakan tiga tayar (trike), sama ada dengan tetapan dua di hadapan atau dua di belakang.
Bagi yang mempunyai dua tayar di hadapan, ia mengingatkan kami kepada model Can-Am Spyder, dengan enjinnya menggunakan unit berkapasiti 976 cc dan mampu menghasilkan kuasa sehingga 80 PS dan 80 Nm. Dipanggil sebagai Walker WR1000, model ini dilihat mempunyai kelengkapan lain seperti meter TFT, gear di tangan, sistem tanpa kunci, kawalan cengkaman dan tangki bahan api 23 liter.
Melihat pula kepada model tayar dua di belakang yang dipanggil sebagai Vanguard VT2000, ia dikuasakan oleh enjin v-twin 1,979 cc yang mampu menghasilkan tork sehingga 158 Nm dan mencatat berat keseluruhan 505 kg. Sekali dinyatakan, model ini mempunyai bentuk dan rekaan seakan model Harley-Davidson termasuklah bahagian kokpitnya, kemasan enjin, butang-butang kawalan serta penampilan keseluruhan.
Semasa berkunjung ke kawasan pameran X-Wedge di China International Motorcycle Trade Exhibition (CIMA 2024), kami mendapati ia penuh dengan warga tempatan yang menunjukkan minat dan keterujaan mereka terhadap jenama ini.
Melalui galeri yang kami sediakan di bawah, anda juga boleh melihat ada satu model yang mempunyai tempat duduk tambahan di bahagian tepi atau dipanggil sebagai side car. Model ini bagaimanapun mungkin tidak akan dibawa ke negara kita kerana peraturan untuknya adalah agak ketat.
Pendapat anda bagaimana? Adakah jenama ini dialu-alukan dalam pasaran kita? Sudah tentu, ia dijangka mempunyai harga yang lebih murah berbanding Harley-Davidson, tetapi memberikan karekter serta penampilan yang sama seperti jenama Amerika Syarikat itu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.