Motosikal Benda sudah pun berada di Malaysia sejak Mei lalu, dengan pengenalan dua model pertamanya iaitu Napoleon Bob dan Dark Flag V4. Sekarang melalui maklumat yang kami terima, penawaran produk Benda ini akan bertambah, dan salah satu yang akan tiba ke negara kita tahun depan adalah Chinchilla 500 ini.
Ia baru sahaja diperkenalkan oleh Benda semasa China International Motorcycle Trade Exhibition (CIMA 2024), dan merupakan model naik taraf bagi Chinchilla sebelum ini, dengan membawakan pelbagai peningkatan. Penggeraknya adalah enjin v-twin 52 hp/48 Nm, yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan serta sistem tali sawat untuk memusingkan roda belakang.
Sebagai sebuah model yang dipertingkat, model ini sekarang dapat mencapai kelajuan maksimum lebih tinggi, iaitu 150 km/j, sementara berat keseluruhannya juga sudah berkurang tiga kilogram, menjadi 212 kg. Tinggi tempat duduk adalah 705 mm.
Selain daripada itu, ia juga dijadikan lebih selesa untuk penunggang, dengan ergonomik yang telah diperbaiki serta tempat duduk yang menggunakan rekaan serta bahan baru. Tangki bahan api mempunyai kapasiti 16 liter.
Chinchilla 500 ini boleh dianggap sebagai sebuah cruiser yang lebih ringkas daripada Benda, dengan tiada kelengkapan yang rumit seperti suspensi udara atau panel aktif seperti yang berada pada model mereka yang lain. Antara yang tersedia adalah termasuk sistem ABS dan kawalan cengkaman, meter TFT dengan sambungan bluetooth, rim 16 inci serta fork USD di hadapan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.