Mitsubishi Motors Malaysia akan lancar satu lagi model tahun ini — Triton generasi ketiga bakal tiba

Mitsubishi Motors Malaysia akan lancar satu lagi model tahun ini — Triton generasi ketiga bakal tiba

Mitsubishi Xpander facelift 2024 yang baru dilancarkan hari ini bukanlah satu-satunya model baru yang akan diperkenalkan tahun ini oleh pengeluarnya. Ketika majlis pelancaran pagi tadi, Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), Shinya Ikeda mendedahkan, akan ada satu lagi model yang akan diperkenalkan tahun ini, tanpa menyebut model yang mana satu yang dimaksudkannya.

Bagaimanapun, tidak terlalu sukar untuk meneka model mana yang akan memasuki pasaran tempatan itu — berkemungkinan besar ialah Triton generasi ketiga, yang baru sahaja dilancarkan di Thailand pada Julai tahun lalu, dan kemudian di Indonesia beberapa bulan lalu. Selain itu, Triton juga merupakan model sedia ada dalam pasaran tempatan dan sudah sampai masa untuk memperkenalkan pengganti model tersebut.

Tambahan pula, MMM sebelum ini pernah memaklumkan yang syarikat itu sedang dalam persiapan untuk memperkenalkan model baru pikap tersebut sebelum hujung tahun ini. Dua petunjuk ini sudah cukup untuk mengiyakan ramalan tentang Triton.

Mitsubishi Motors Malaysia akan lancar satu lagi model tahun ini — Triton generasi ketiga bakal tiba

Belum ada sebarang tarikh diberikan, tetapi ia pasti akan berlangsung dalam suku terakhir tahun ini. Di Thailand, Triton baru ini ditawarkan dalam tiga jenis badan — double-cab, single-cab dan club-cab dengan ruang kargo di belakang kerusi depan. Jenis double-cab tentulah yang paling relevan untuk pasaran tempatan di sini.

Dari segi saiz, Triton baru ini lebih besar dan menggunakan ladder frame rekaan baru yang mempunyai 65% lebih kawasan silang-seksyen berbanding model semasa, menjadikannya lebih kukuh. Ia juga menggunakan unit janaan kuasa yang baru, unit 4N16 2.4 liter empat-silinder sebaris yang menggantikan unit 4N15, serta lengkap dengan VGT common rail dan intercooler DOHC.

Pasaran Thailand menerima tiga versi janaan enjin, dengan yang pertama 150 PS (148 hp atau 110 kW) pada 3,500 rpm dan 330 Nm dari 1,500 hingga 3,000 rpm. Ini diikuti dengan janaan pertengahan 184 PS (181 hp atau 135 kW) pada 3,500 rpm dan 430 Nm dari 2,250 hingga 2,500 rpm, dan yang ketiga adalah yang paling berkuasa, 204 PS (201 hp atau 150 kW) pada 3,500 rpm dan 470 Nm dari 1,500 hingga 2,750 rpm. Indonesia pula menawarkan enam varian (empat double-cab dan dua single-cab), dengan pilihan enjin janaan pertengahan yang sama.

Triton ini juga akan hadir dengan rekaan dalaman baru dengan banyak penambahbaikan. Kelengkapan yang akan turut ada ialah kawalan pendingin dua zon, pengecas telefon tanpa wayar, paparan kluster instrumen pemandu dengan paparan LCD tujuh-inci pelbagai maklumat dan balutan kulit.

Bagi aspek keselamatan, ciri seperti Forward Collision Mitigation (AEB), Blind Spot Warning dengan Lane Change Assist dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) yang ada sebelum ini dikekalkan, dengan tambahan ciri Adaptive Cruise Control untuk model terbaru ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required