Pengguna laluan motosikal di sepanjang Lebuh Raya Persekutuan Kuala Lumpur pastinya tahu, antara masalah utama laluan tersebut adalah keadaan gelap apabila malam, dan boleh menjadi satu ancaman kepada penunggang.
Jabatan Kerja Raya (JKR) cuba memperbaiki keadaan ini, tetapi nampaknya ia dibantutkan oleh penyangak. Satu muatan yang dinaikkan oleh laman Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) JKR dalam Facebook menunjukkan satu kes pencurian kabel berlaku di terowong di bawah persimpangan Batu Tiga hala ke Klang.
Bukan sikit, tetapi kata muatan tersebut, ‘habis licin’ semua kabel bawah tanah untuk lampu jalan menghala ke terowong tersebut dan di dalam terowong itu sendiri. Walaubagaimanapun, pasukan CKE menyatakan, mereka akan cuba untuk mengaktifkan lampu terowong terlebih dahulu.
Muatan tersebut turut menyatakan keluhan kerana peruntukan untuk senggaraan susah untuk diterima, dan sekarang mereka perlu dapatkan peruntukan baru pula lagi untuk membuat kerja pembaikan.
Penunggang motosikal yang melalui kawasan ini diminta berhati-hati kerana melalui gambar yang dimuat naik, kita dapat melihat terdapat serpihan konkrit dan tanah yang dikorek memasuki bahagian jalan, boleh membahayakan penunggang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.