Bagi kelancaran urusan pemilik kenderaan Singapura yang mahu memasang tag RFID permit kemasukan kenderaan (VEP), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mewujudkan dua lokasi fasiliti tambahan bagi tujuan tersebut bermula Ahad ini, 22 September 2024.
Menurut JPJ, lokasi fasiliti berkenaan ialah di JPJ Negeri Johor yang bertempat di Kompleks JPJ, Taman Daya, JB yang menyediakan kapasiti sebanyak 800 kenderaan untuk memasang tag berkenaan. Selain itu, fasiliti yang sama turut disediakan di Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Selatan yang terletak di Jalan Kebun Teh Lama, Larkin, yang mampu memasang tag untuk 400 kenderaan sehari.
“Pada masa ini, lokasi pemasangan tag RFID VEP adalah di VEP Collection Centre (VCC), Danga Bay, Johor Bahru dengan kapasiti hanya 300 kenderaan sehari sahaja. Pertambahan dua lokasi baharu ini berupaya untuk meningkatkan lagi jumlah pemasangan tag tersebut kepada 1,500 kapasiti sehari.
“Usaha ini adalah untuk memudahkan pemasangan tag RFID VEP ke atas kenderaan warga Singapura yang telah membuat pendaftaran VEP secara dalam talian dan dibantu oleh pegawai-pegawai di lokasi tersebut,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Mulai 1 Oktober tahun ini, kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki Malaysia perlu mempunyai VEP, yang akan digunakan untuk pembayaran tol serta caj RM20 setiap caj kemasukan. Mereka yang ditangkap tanpa VEP boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan jika disabit kesalahan.
VEP bertindak seperti “kad pengenalan” untuk kenderaan yang memasuki Malaysia dan akan membolehkan pihak berkuasa untuk mengesan kesalahan trafik. Pemandu kenderaan Singapura digesa menyelesaikan saman trafik tertunggak mereka sebelum meninggalkan Malaysia, di mana JPJ akan mengambil tindakan penguatkuasaan mulai 1 Januari 2025.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.