Menurut data yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), sebanyak 71,162 unit kenderaan telah dihantar kepada para pelanggan pada bulan Ogos 2024. Walau bagaimana pun, angka tersebut dilihat kurang berbanding jualan yang dicatatkan pada Julai 2024 yang mencecah 71,730 unit atau 0.8% dari aspek peratusan.
Bagi data tahunan pula, jumlah kenderaan yang terjual pada Ogos 2024 pula adalah kurang 2% berbanding 72,844 unit yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu. Manakala jumlah keseluruhan tahunan setakat ini (YTD) mencatatkan rekod sebanyak 533,301 unit, hampir 6% lebih tinggi berbanding tempoh Januari-Ogos yang sama tahun lepas, yang menyaksikan 503,783 penghantaran.
Bagi produksi kenderaan pula, sebanyak 73,966 unit telah dikeluarkan di kilang pemasangan untuk sepanjang Ogos 2024, di mana ia lebih 9% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Manakala bagi YTD pula, untuk lapan bulan pertama tahun ini sebanyak 536,313 unit telah dikeluarkan berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Tidak seperti laporan sebelumnya untuk Julai 2024, MAA ada menyebut ramalan tentang jualan yang akan berlaku untuk bulan September 2024. Pada Julai tahun ini, persatuan itu menyemak semula ramalan untuk tahun ini sepenuhnya dengan meningkatkan sasaran sebanyak 765,000 unit berbanding perancangan asal 740,000 unit. Berdasarkan angka YTD setakat ini, kita telah pun mencapai lebih kurang 70& dengan berbaki empat bulan lagi sebelum 2024 melabuhkan tirainya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.