‘Serangan’ dari jenama-jenama China terhadap lawan-lawannya dari Eropah bukan hanya tertumpu pada kenderaan elektrik (EV) untuk penumpang, malah kini turut melibatkan kenderaan komersil. Memperkenalkan BYD E-Vali, iaitu van EV yang dihasilkan untuk pasaran kenderaan komersil ringan (LCV) Eropah yang akan berhadapan terus dengan Ford E-Transit, Renault Master dan lain-lain!
BYD E-Vali ini didedahkan ketika berlangsungnya acara IAA Transportation di Hannover, Jerman dan bakal mula dijual di benua berkenaan pada 2025. Versi standard E-Vali ini menampilkan badan berukuran 5,995 mm panjang dan ruang kargo berkapasiti 491 kaki padu, manakala versi yang lebih besar pula mempunyai badan sepanjang 6,995 mm dengan ruang kargo sebesar 632 kaki padu. Bergantung varian, kapasiti mengangkut beban van ini adalah antara 700 dan 1,450 kg.
Bagi memaksimakan penggunaan ruang, BYD E-Vali ini menampilkan rekaan berkotak seperti saingan-saingannya yang lain. Ia diberikan muka yang menampilkan sepasang lampu hadapan petak, bersama dua baris ‘kening’ LED yang kelihatan seperti bersambung dengan gril.
Bagi memudahkan barang dimuatkan dalam ruang kargo, BYD E-Vali ini menampilkan pintu sisi gelangsar sepanjang 467 mm. Ia juga diberikan pintu belakang 435 mm dengan bahangian bendul yang rendah untuk memudahkan barang berat diangkat ke atas van ini.
Manakala untuk pemandu dan kelindan, ia diberikan papan pemuka yang menampilkan banyak ruang storan dan juga skrin infotainmen 12.8-inci serta paparan instrumen digital. E-Vali ini juga boleh diubahsuai bagi kegunaan perniagaan yang spesifik.
Untuk unit rangkaian kuasa, E-Vali ditawarkan dalam versi pacuan belakang dengan motor elektrik tunggal berkuasa 136 PS (100 kW), atau versi lebih berkuasa dengan dua motor yang memacu roda hadapan dan belakang menghasilkan kuasa keseluruhan 204 PS (150 kW).
Kedua-dua pilihan konfigurasi motor elektrik tersebut digandingkan dengan bateri litium logam fosfat (LFP) dengan kapasiti 80.64 kWj, bagi membolehkan van ini bergerak dalam jarak antara 220 dan 250 km dalam kitaran ujian WLTP.
Bateri tersebut boleh dicas dengan sistem AC dengan kapasiti maksima 22 kW, dan juga sistem pengecas pantas DC sehingga 188 kW yang membolehkan cas dipenuhkan dari 10-80% dalam masa 30 minit. Ia juga menerima sistem vehicle-to-load (V2L) yang membolehkan kuasa dari bateri digunakan oleh peralatan elektrik lain untuk membuat kerja.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.