GAC Aion Hyptec HT kini di Thailand – pintu gull-wing macam Tesla, bermula RM183k; Malaysia selepas ini?

GAC Aion Hyptec HT kini di Thailand – pintu gull-wing macam Tesla, bermula RM183k; Malaysia selepas ini?

SUV EV dari China dengan rupa seperti Tesla Model Y tetapi mempunyai pintu belakang gull-wing seperti Tesla Model X iaitu GAC Aion Hyptec HT telahpun dilancarkan secara rasmi di Thailand. Jika anda minat dengan model ini, ia ada kemungkinan besar akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi kerana sudahpun dipamerkan di acara Malaysia Autoshow Mei lalu.

Untuk pasaran Thai, Hyptec HT ini ditawarkan dalam dua varian iaitu model asas Premium dengan pintu biasa di belakang, dan juga varian Luxury Gull-Wing iaitu varian yang diberikan pintu unik tersebut. Walau bagaimanapun, kedua-dua varian ini masih menerima kelengkapan yang sama, dan hanya dibezakan oleh pintu belakang berkenaan sahaja.

Oleh itu semua varian GAC Aion Hyptec HT ini menerima hanya satu motor elektrik yang memacu roda belakang, menghasilkan kuasa 340 PS (250 kW) dan tork 430 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 183 km/j.

GAC Aion Hyptec HT kini di Thailand – pintu gull-wing macam Tesla, bermula RM183k; Malaysia selepas ini?

Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri LFP berkapasiti 83.3 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 620 km dalam kitaran ujian NEDC. Untuk mengecas, ia menyokong sistem AC dengan kadar 11 kW dan juga sistem pengecas pantas DC sehingga 280 kW yang membolehkan bateri dipenuhkan dari 10-70% dalam masa 15 minit. Sistem vehicle-to-load (V2L) dengan membekalkan kuasa pada kadar 3.3 kW untuk kegunaan peralatan elektrik lain juga diberikan.

Tidak kira versi gull-wing atau tidak, pintu hadapan dan belakang GAC Aion Hyptec HT ini diberikan sistem kawalan elektrik untuk buka dan tutup. Secara keseluruhan 12 penderia dipasang pada sekeliling badannya bagi mengesan sebarang objek serta untuk mengelakkan sebarang kemalangan.

Seperti kebanyakkan model-model EV dari China yang lain, Hyptec HT ini juga diberikan papan pemuka ringkas tanpa banyak butang, dan kawalan kebanyakkan fungsi dibuat menerusi skrin bersaiz 14.6-inci di tengah. Pemandu pula menerima skrin paparan instrumen digital yang leper bersaiz 8.8-inci, dan roda stereng bersaiz kecil yang juga seperti diinspirasikan dari rekaan Tesla.

GAC Aion Hyptec HT kini di Thailand – pintu gull-wing macam Tesla, bermula RM183k; Malaysia selepas ini?

Antara perincian dalaman lain yang turut diberikan termasuk upholsteri kulit Nappa, fungsi pengurut pada tempat duduk hadapan, mod VIP dan mod tidur untuk tempat duduk belakang, sistem bunyi Dolby Atmos dengan 22-pembesar suara, serta bumbung panaromik bersaiz besar.

Model ini dijual pada harga bermula 1,449,000 baht (RM183,129) untuk varian Premium dan 1,749,000 baht (RM220,996) untuk model Luxury Gull-Wing. Setiap pembelian akan diberikan waranti selama lapan-tahun atau 240,000 km. Ia turut menerima waranti seumur hidup bateri EV, namun hanya untuk pemilik pertama sahaja. Jika kereta ini dijual, bateri berkenaan hanya dilindungi waranti selama lapan tahun atau 240,000 km. GAC Aion Thailand turut memberikan kemaskini OTA sepanjang hayat dan juga pengecas rumah secara percuma.

Sekiranya ia dilancarkan di Malaysia kelak, SUV ini mungkin dikenali sebagai GAC Aion Hyper HT, seperti ketika ia dipamerkan di Malaysia Autoshow Mei lalu. Berapa agak-agak harganya nanti? Sebagai panduan, Tesla Model Y di sini dijual pada harga bermula RM191,000, manakala Xpeng G6 yang baru dilancarkan baru-baru ini dijual pada harga RM165,820 hingga RM185,820.

GALERI:GAC Aion Hyptec HT di GIIAS 2024

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required