Ini bukan kali pertama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ‘menganjurkan’ program muhasabah untuk mat rempit yang berjaya dicekup dalam operasi penguatkuasaan lalu lintas. Terbaru, pada malam minggu lalu, seramai 32 remaja termasuk seorang pelajar sekolah yang bakal menduduki SPM tidak lama lagi telah dibawa ke Balai Polis Tun HS Lee selepas Operasi Samseng Jalanan atas pelbagai kesalahan.
Menurut perkongsian menerusi Facebook JSPT KL, remaja-remaja terbabit bukan sahaja diambil tindakan dibawa balik untuk dokumentasi, malah telah dibawa ke surau untuk didedahkan dengan program Muhasabah Diri bersama “mat rempit” dengan mendengar tazkirah selepas solat subuh.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kesemua individu tersebut dibawa ke Balai Polis Tun HS Lee bagi proses dokumentasi. Dalam operasi ini juga sebanyak 157 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, tiada nombor pendaftaran, motosikal diubahsuai dan lain-lain.
“Selesai dokumentasi, mereka turut didedahkan dengan motivasi, solat subuh berjemaah dan dilanjutkan dengan tazkirah ringkas di Surau An Nazahah, JSPT KL. Program yang bersifat keagamaan dan ilmiah ini, diharap akan memberikan kesedaran kepada pesalah-pesalah mat rempit yang ditahan sekitar Jalan Tun Razak awal pagi tadi (semalam),” katanya.
Di mana pengisian program seperti solat subuh berjemaah dan tazkirah yang memberi fokus kearah kesedaran tentang keburukan merempit dan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain telah disampaikan oleh Inspektor Zambri dari Unit Penguatkuasa JSPT KL.
Selain itu, pesalah –pesalah mat rempit ini juga telah ditunjuk ajar dengan beberapa perkara seperti cara – cara yang betul dalam mengambil air sembahyang, laungan Azan serta iqomat dan kaedah menyampaikan tazkirah secara ringkas.
“Pendekatan secara keagamaan dan ilmiah kepada remaja diharapkan dapat membantu remaja warisan negara ini untuk menunjukkan akhlak mulia kepada masyarakat.
“Ibu bapa juga disarankan agar lebih perihatin dalam mendidik anak–anak dan menjadikan mereka rakan untuk berkongsi pengalaman dan masalah yang mereka hadapi. Secara tidak langsung ianya dapat mengurangkan fokus mereka terhadap aktiviti yang melanggar undang–undang jenayah atau lalulintas,” tambah JSPT KL.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.