Satu lagi model yang diperkenalkan oleh Modenas hari ini bersama Z900RS SE adalah Versys 650 SE, yang ditawarkan dalam dua warna iaitu Metallic Spark Black pada harga RM43,600 dan Candy Lime Green/Metallic Flat Spark Black berharga RM44,200 (tidak termasuk insurans).
Membezakan model ini berbanding Versys 650 biasa yang dilancarkan pada tahun lepas adalah ia datang terus dengan beg tepi berkapasiti 56 liter, yang menggunakan kunci sama untuk menghidupkan enjin motosikal dan menggunakan konsep warna sama seperti badan.
Bahagian lain tidak mempunyai sebarang beza, bermula dengan enjin, yang menggunakan unit dua silinder selari DOHC 649 cc bersama kotak gear enam kelajuan, menghasilkan kuasa 65.7 hp pada 8,500 rpm dan tork 61 Nm pada 7,000 rpm.
Memegang rim 17 inci pada Versys 650 ini adalah suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik 41 mm dengan pelarasan pra beban dan lantunan di hadapan, serta monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang.
Pada bahagian kokpit terdapat panel instrumen TFT bersaiz 4.3 inci, yang selain menunjukkan pelbagai informasi penting melalui paparan berwarna, juga boleh disambungkan kepada telefon bimbit secara bluetooth menggunakan aplikasi Kawasaki Rideology. Sekiranya ada panggilan atau mesej, notifikasi akan dipaparkan pada skrin.
Pada bahagian keselamatan, model ini datang dengan sistem ABS dan kawalan cengkaman dua mod, sementara kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk tangki bahan api 21 liter, lampu hadapan LED serta penghadang angin boleh laras secara manual. Berat keseluruhan Versys 650 tanpa beg tepi adalah 219 kg.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.