Bagi memastikan pembuat-pembuat EV yang telah menerima insentif dari kerajaannya dapat benar-benar memacu industri automotif tempatan, Thailand kini mensyaratkan syarikat-syarikat tersebut untuk menghasilkan tiga komponen utama EV di negara berkenaan, dan bukan sekadar memasang model-model itu dengan kit CKD yang diimport dari luar sepenuhnya.
Syarat ini akan bermula pada 2026 nanti dan ia selari dengan permulaan produksi EV di negara tersebut seperti yang telah diumumkan dalam rancangan asal.
Menurut ketua pengarah jabatan eksais Thailand Ekniti Nitithanprapas, tiga komponen utama berkenaan termasuk motor elektrik, unit reducer (yang berfungsi seperti kotak gear untuk model dengan enjin pembakaran dalaman), dan juga unit inverter iaitu komponen yang mengubah arus DC dari bateri kepada AC bagi dibekalkan kepada motor.
Syarat baharu ini diumumkan selepas pengenalan fasa pertama (3.0) dan fasa kedua (3.5) langkah promosi EV di Thailand, lapor Bangkok Post.
Di bawah langkah sokongan EV ini, syarikat yang mengambil bahagian dikehendaki memproduksi EV secara tempatan dan menghasilkan jumlah yang sama seperti jualan model-model yang telah diimport sepenuhnya sebelum ini pada tahun pertama. Sekiranya syarikat tersebut gagal memenuhi keperluan produksi tempatan pada tahun kedua, ia mesti mengeluarkan 1.5 kali ganda jumlah jualan.
Jabatan itu menyatakan bahawa keperluan ini telah mewajibkan pengeluar kereta untuk mewujudkan pangkalan produksi di Thailand, yang membawa kepada pelaburan dan industri baharu. Setakat ini, pengeluar kereta yang mengambil bahagian dalam program itu telah secara beransur-ansur membina hab pengeluaran di Thailand, dengan jumlah nilai pelaburan lebih 80 bilion baht setakat ini.
Sebelum ini lembaga pelaburan (BoI) negara itu telah meluluskan langkah untuk menggalakkan pelaburan dalam pembuatan bateri EV, di mana pelaburan peringkat modul menerima pengecualian cukai pendapatan korporat lapan tahun, dan pelaburan peringkat pek mendapat pengecualian lima tahun, walaupun ia tidak disubsidi oleh langkah promosi EV. Walau bagaimanapun, pelaburan peringkat sel menikmati pengecualian cukai selama lapan tahun dan menerima subsidi daripada dana berkenaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.