Kerajaan Singapura telah pun mengumumkan bahawa pemberian insentif bagi menggalakkan penggunaan kenderaan tenaga bersih yang diperkenalkan pada 2021 akan diteruskan sehingga 31 Disember 2025.
Perkara ini disahkan menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan juga Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) republik berkenaan mengenai lanjutan Insentif Penerimaan Awalan EV (EEAI) tersebut.
Pemilik yang mendaftarkan kereta elektrik dan teksi pada 2025 akan terus menerima rebat sebanyak 45% daripada yuran pendaftaran tambahan (ARF), tetapi ia kini dihadkan pada SGD15,000 berbanding SGD20,000 sebelum ini. Juga, tingkat SGD0 ARF untuk kereta elektrik dan teksi juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025.
ARF ialah cukai utama yang dikenakan semasa pendaftaran kenderaan di Singapura dan dikira berdasarkan peratusan (kadar ARF) nilai pasaran terbuka (OMV) kenderaan, iaitu anggaran kos kenderaan sebelum cukai.
Skim Emisi Kenderaan (VES), yang mengenakan rebat atau surcaj ke atas kenderaan yang dijual di Singapura berdasarkan kadar emisi yang dihasilkan juga telah disemak semula menyebabkan harga untuk kenderaan bukan EV telah terjejas.
Rebat bagi kenderaan dengan kadar emisi berada dalam jumlah kumpulan A2, yang kebanyakkannya adalah kereta hibrid akan dikurangkan sebanyak 50% dari SGD5,000 kepada hanya SGD2,500 bermula 1 Januari 2025. Sementara VES kumpulan A1 iaitu untuk kebanyakkan EV akan kekal pada SGD25,000.
“Dengan rebat VES yang disemak semula berkuat kuasa dan EEAI yang diteruskan, pembeli akan terus menikmati penjimatan kos gabungan sehingga SGD40,000 daripada ARF untuk kereta elektrik dalam tempoh tersebut. Kebanyakan model kereta elektrik akan menikmati tahap rebat yang sama seperti hari ini,” tulis kenyataan bersama itu.
Dalam kenyataan itu juga mendedahkan bahawa sekitar 20,000 unit EV telah menerima manfaat dari rebat VES dan/atau EEAI tersebut.
“Kedua-dua EEAI dan VES bersama-sama dapat mengurangkan jurang kos antara kereta tenaga lebih bersih (termasuk kereta elektrik dan hibrid) dan kereta dengan enjin pembakaran dalaman, dan telah membantu meningkatkan penggunaan kereta tenaga bersih. Pendaftaran kereta tenaga lebih bersih telah meningkat kepada sekitar 80% daripada semua pendaftaran kereta baharu antara Januari 2024 dan Ogos 2024,” tambah kenyataan itu lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.