Zeekr 009 dilancar di Thailand – 612 PS, jarak gerak EV 582 km; RM395k, murah dari Toyota Alphard/Vellfire

Zeekr 009 dilancar di Thailand – 612 PS, jarak gerak EV 582 km; RM395k, murah dari Toyota Alphard/Vellfire

Zeekr 009 telah pun dilancarkan di Thailand, selepas beberapa bulan model yang lebih kecil Zeekr X mula dijual di sana pada Julai lalu. Kedua-duanya merupakan kenderaan elektrik (EV) yang telah dibuka pra-tempahan sejak Mac.

Untuk pasaran Thailand, ia ditawarkan dengan varian tunggal yang dipanggil Flagship AWD berharga 3.099 juta baht (sekitar RM395k). Sekaligus membuatkan MPV Zeekr ini lebih murah berbanding pesaingnya iaitu Toyota Alphard dan Vellfire yang ditawarkan pada harga dari 4.129 juta hingga 4.499 juta baht (RM526k hingga RM573k).

Flagship AWD menerima dua motor elektrik yang menyalurkan keseluruhan kuasa cecah 612 PS (603 hp atau 450 kW) dan tork 693 Nm. Motor berkenana dikuasakan oleh bateri nickel manganese cobalt (NMC) 116 kWh yang memberikannya jarak gerak hingga 582 km mengikut standard WLTP, dengan pecutan 0-100 km/j cecah 4.5 saat dan kelajuan maksimum hingga 230 km/j.

Untuk pengecasan, 009 boleh menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti 310 kW, atau pun pengecas 5C seperti yang jenama ini iklankan. ‘C’ bermakna berapa banyak kali bateri tersebut boleh dicas dalam tempoh satu jam, dan jika menggunakan DC, status pengecasan 10-80% mampu dicapai dalam sekitar 11.5 minit. Tatapan ini lebih kurang sama dengan apa yang ditawarkan di Hong Kong, salah satu pasaran pertamanya yang menerima 009 dalam versi pemanduan sebelah-kanan.

Kelengkapan standard yang diberikan untuk 990 spesifikasi Thailand ini termasuklah suspensi udara, roda aloi 20-inci, bentangan enam-tempat duduk (2+2+2) dengan kerusi executive lounge pada barisan kedua, kluster instrumen digital 10.25-inci, sistem infotainmen skrin sesentuh 15.4-inci, paparan penumpang belakang 17-inci, paparan utama, sistem suara sekeliling Yamaha, pintu gelangsar kuasa, bumbung kaca panoramik dua-seksyen, tailgate kuasa dan sistem bantuan pemandu termaju.

Bagi aspek warna, di Thailand, 009 ditawarkan dengan rona Crystal White dengan padanan dalaman hitam, Electric Blue dengan dalaman kelabu/putih serta Phantom Black dengan dalaman hitam atau biru/putih. Ia turut diberikan waranti lima-tahun atau 150,000 km untuk kenderaan, dan motor serta bateri diberikan perlindungan selama lapan-tahun/180,000 km.

Model 009 dan X telah disahkan bakal dipasarkan di Malaysia namun ia masih belum dilancarkan di sini. Thailand telah menerima kedua-dua model tahun ini, manakala Singapura telah pun melancarkan X pada bulan lalu. Adakah anda menantikan model ini yang boleh dijadikan sebagai alternatif kepada Alphard/Vellfire?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required