Baru-baru ini para pengedar Proton eMas telah membuat kunjungan rasmi ke Hangzhou, China, untuk melawat fasiliti beberapa model buatan kumpulan Geely.
Antara yang dikongsikan oleh mereka menerusi Facebook, klip video yang turut memaparkan model Geometry Xingyuan iaitu kenderaan berwarna hijau yang anda boleh saksikan di bawah. Xingyuan telah dibawa keluar untuk dipertontonkan, seperti memberikan bayangan ia sengaja ditunjukkan kepada kumpulan pengedar ini, tidak seperti beberapa model lain yang kekal diletakkan di bahagian dalam fasiliti.
Ini merupakan amalan biasa yang dilakukan dalam lawatan ke fasiliti pengeluar oleh syarikat kereta di mana ia mempertontonkan model yang bakal dilancarkan di pasaran tertentu, jadi dengan kehadiran Xingyuan yang ditunjukkan kepada pengedar Malaysia ini mungkin membawa bayangan ia juga bakal diperkenalkan di pasaran kita. Adakah namanya telah ditetapkan sebagai Proton eMas 5 selepas model Geely E5/Proton eMas 7 yang juga akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi?
Geometry Xingyuan merupakan EV mampu milik yang bersaiz lebih kecil berbanding Geely E5, dan ia berukuran 4,135 mm panjang, 1,805 mm lebar, 1,570 mm tinggi dengan jarak roda 2,650 mm.
Malahan dimensinya juga lebih kecil berbanding BYD Dolphin yang dijual di Malaysia, yang berukuran 1,290 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1,570 mm tinggi dan jarak roda 2,700 mm, dan ia juga berbeza daripada Dolphin untuk pasaran China yang lebih kecil berbanding Geometry Xingyuan.
Ada media di China melaporkan bahawa Xingyuan akan menggunakan pek bateri lithium iron phosphate (LFP) bersumberkan-CATL dengan kapasiti 30.12 kWh yang menawarkan jarak gerak hingga 310 km dan 40.16 kWh pula dengan 410 km, kedua-duanya mengikut standard ujian CLTC.
Di dalamnya, Xingyuan akan menerima skrin infotainmen besar yang diletakkan di bahagian tengah papan pemuka, panel instrumen digital di hadapan pemandu dan juga roda stereng dua-jejari. Ia juga ditawarkan dengan dua konfigurasi bagi motor sama ada dengan kuasa keseluruhan 79 PS atau 116 PS, dengan kelajuan maksimum cecah 135 km/j.
GALERI: Geometry Xingyuan
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.