Selain program subsidi petrol bersasar untuk RON95, Belanjawan 2025 juga akan memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), lapor Bernama. Menurut penganalisis RHB Investment Bank, Alexander Chia, Malaysia ketika ini sedang melihat untuk memperluas asas cukainya memandangkan kedudukan kerajaan perpaduan di bawah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan cukup stabil untuk melaksanakan hal tersebut.
“Kami yakin bahawa kerajaan akan mengambil langkah ke depan yang lebih bermakna melibatkan subsidi dan juga perluasan sumber cukainya untuk mengurangkan difisit tahunan, sekaligus memberikan lebih banyak ruang bagi pelaburan infrastruktur dan mencipta peluang baru untuk mengawal hutang negara.
“Dari sudut ini, dua usaha utama yang bakal ditentukan adalah penyelarasan semula subsidi petrol RON95 dan pengenalan semula GST yang serasi dengan pelaksanaan penuh e-Invois,” ujar Chia dalam nota kajiannya.
GST pertama kali diperkenalkan pada April 2015 pada kadar 6% (yang telah menurunkan harga sebahagian kenderaan baru) tetapi dibatalkan pada 2018 selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih kuasa, dan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 10%. GST belum pernah dilaksanakan semula setelah itu.
RHB menjangkakan ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober nanti, ia akan memberi tumpuan terhadap penjimatan tahunan dengan keutamaan terhadap kumpulan berpendapatan rendah. Ia juga akan menunjukkan komitmen untuk perubahan serta penglibatan inisiatif yang jelas, seperti memperluas asas sumber cukai negara. Dijangkakan defisit tahunan yang disasarkan akan diturunkan kepada 3.5% daripada KDNK, daripada 4.3% tahun ini.
Turut ada kemungkinan yang pembentangan itu nanti akan menyaksikan juga pengenalan Cukai Barangan Mewah (HVGT) yang tertangguh sebelum ini, walaupun belum jelas kadar cukai yang akan dikenakan, jenis barangan yang terkesan dan had nilai yang terlibat. Cukai ini sepatutnya mula dilaksanakan pada Mei lalu dengan had nilai terlibat sebanyak RM200,000 untuk kereta dengan kadar antara 5% hingga 10%, tetapi ditangguhkan untuk membolehkan kerajaan memperhalus kerangka dasar dan perundangan berkaitannya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.