Semasa berada China International Motorcycle Trade Exhibition (CIMA 2024), kami sempat menyaksikan pelancaran sebuah model baru, Cyclone RC600 Centennial Legend Edition untuk pasaran negara itu. Ia merupakan sebuah model keluaran terhad 100 unit sahaja dan dilengkapi dengan pelbagai aksesori lumba sebagai naik taraf berbanding model biasa.
Bagi yang tidak kenal, Cyclone adalah satu jenama di bawah pengeluar motosikal besar China, Zongshen, dan beberapa model juga ada dipasarkan di Malaysia di bawah syarikat MForce Bike Holdings Sdn Bhd termasuk menggunakan jenama KTNS.
Menjadikan model RC600 keluaran terhad ini istimewa pertamanya adalah panel badan dengan pelbagai ciri aerodinamik yang rekaannya diberitahu mengambil banyak inspirasi daripada ikan pari serta winglet besar di hadapan seperti jentera MotoGP.
Menggerakkannya adalah enjin dua silinder selari 550 cc penyejukan cecair, yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper, mampu menghasilkan kuasa 58.3 hp pada 8,500 rpm dan tork 55 Nm pada 6,500 rpm.
Memegang rim 17 incinya adalah fork USD boleh laras di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Tugas membrek pula dijalankan oleh cakera tunggal dengan angkup J.Juan empat piston di hadapan, serta cakera tunggal dengan angkup satu piston di belakang – sistem ABS diberikan secara standard.
Turut diberikan adalah quickshifter serta panel meter TFT 6.5 inci, bersama kelengkapan lain seperti tangki bahan api 15 liter, soket pengecas USB serta sistem kawalan cengkaman. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 186 kg.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.