Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menyediakan peruntukan untuk membaiki dan menambahbaik laluan sedia ada di sepanjang Pelabuhan Klang, laporan Berita Harian.
Ketika berucap dalam majlis pecah tanah untuk Westport 2 di sana pagi tadi, beliau berkata, langkah tersebut merupakan antara usaha kerajaan mengembang prasarana dan infrastruktur di pelabuhan utama negara.
Walau bagaimana pun, katanya, cadangan membina laluan baharu bagi mengatasi kesesakan di pelabuhan itu akan diteliti, memandangkan ia memerlukan komitmen kewangan yang tinggi.
“Mahu buat jalan besar baharu, itu kita ambil masa. Cadangan itu saya setuju. Saya balik ke pejabat nanti, saya akan minta ia diteliti. Buat masa ini kita luluskan peruntukan baiki jalan raya sedia ada,” katanya.
Pada pertengahan Januari lalu, Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata Lebuhraya Pulau Indah yang terletak berhampiran dengan Westport merupakan salah satu jalan yang paling rosak teruk di negara ini. Ia disebabkan jalan terbabit merupakan laluan utama kepada kenderaan berat termasuk yang melebihi muatan yang berulang alik ke Westport hingga mengakibatkan keadaan jalan di situ menyedihkan.
Malahan jalan di sepanjang Pelabuhan Klang juga antara ‘laluan panas’ yang sering berlaku kes kemalangan jalan raya termasuk yang melibatkan kenderaan berat seperti treler. Mungkin memang sudah tiba masanya pihak berwajib mengambil langkah yang lebih proaktif dalam mengatasi atau pun mengurangkan keadaan jalan yang menyediahkan terutamanya yang menjadi salah satu penyebab kemalangan jalan raya.
Begitu juga dengan pengusaha syarikat pengangkutan yang perlu menitikberatkan soal keselamatan kepada para kakitangannya yang bekerja sebagai pemandu kenderaan berat supaya lebih bertanggungjawab terhadap keadaan kenderaan dan peraturan jalan raya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.