Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah memaklumkan bahawa setakat 25 September 2024, sejumlah 62,635 kenderaan persendirian Singapura telah mengaktifkan tag RFID Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) sebagai persediaan penguatkuasaan VEP di sempadan darat Malaysia-Singapura.
“Semua kenderaan asing Singapura yang belum memiliki VEP masih boleh memasuki Malaysia seperti biasa. Walau bagaimanapun, semua pemilik kenderaan persendirian Singapura yang belum mendapatkan tag RFID VEP akan diberi peringatan di pintu masuk untuk segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP.
“Mereka boleh berbuat demikian di mana-mana pusat pemasangan VEP seperti di Pejabat TCSens yang terletak Danga Bay, Johor Bahru selain di Akademi JPJ Wilayah Selatan, Johor Bahru. Dua pusat pemasangan lain termasuk di Pejabat JPJ Johor, Taman Daya, Johor Bahru dan VEP Collection Centre di Woodlands,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
JPJ turut menambah, Notis Amaran akan diberi kepada pemilik kenderaan persendirian Singapura sebelum meninggalkan Malaysia sekiranya masih belum memiliki VEP. Pendaftaran dan maklumat lanjut berkenaan tag RFID VEP boleh layari melalui laman sesawang https://vep.jpj.gov.my/
Mulai 1 Oktober tahun ini, kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki Malaysia perlu mempunyai VEP, yang akan digunakan untuk pembayaran tol serta caj RM20 setiap caj kemasukan. Mereka yang ditangkap tanpa VEP boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan jika disabit kesalahan.
VEP bertindak seperti “kad pengenalan” untuk kenderaan yang memasuki Malaysia dan akan membolehkan pihak berkuasa untuk mengesan kesalahan trafik. Pemandu kenderaan Singapura digesa menyelesaikan saman trafik tertunggak mereka sebelum meninggalkan Malaysia, di mana JPJ akan mengambil tindakan penguatkuasaan mulai 1 Januari 2025.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.