Peugeot yang kini diuruskan oleh Stellantis Malaysia mengumumkan bahawa ia akan memberikan kereta ganti untuk pelanggan gunakan sekiranya kereta mereka ‘tersadai’ di pusat servis kerana untuk diperbaiki atau menunggu alat ganti tiba.
Menurut syarikat itu kelayakan pelanggan untuk mendapatkan servis ini adalah dinilai berdasarkan kes demi kes termasuk kes seperti kereta berkenaan tidak boleh digunakan atas sebab keselamatan, masalah sehingga ia tidak boleh dipandu, atau beberapa keadaan lain yang tidak dijangka. Sudah tentu ia tertakluk kepada terma dan syarat.
Pelanggan juga akan ditawarkan dengan kereta gantian sekiranya kenderaan mereka terpaksa diletakkan lebih lama di pusat servis kerana ketiadaan alat ganti yang diperlukan. Sekiranya kenderaan ganti daripada Peugeot Malaysia sendiri tidak cukup, syarikat berkenaan akan menyediakan kenderaan sewa sebagai ganti tanpa sebarang kos.
Julai lalu pengarah urusan Stellantis Malaysia Jamie Morais berkata bahawa Peugeot Malaysia kini telah berjaya mengurangkan kes yang masih belum diselesaikan sebanyak 95% iaitu dari 2,500 kes kepada hanya 117 kes.
Setelah mengambil semula hak pengedaran Peugeot pada pasaran Malaysia Mac lalu, Stellantis telah menawarkan waranti selama tujuh-tahun untuk model baharu Peugeot yang dijual, atau pelanggan boleh memilih waranti selama lima-tahun dengan diberikan rebat dari harga jualan kereta tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.