Siri perlumbaan satu pengeluar Vios Challenge musim ke-7 yang dianjur oleh Toyota Gazoo Racing Malaysia telah pun melangsungkan pusingan keduanya pada hujung minggu lalu. Berbanding pusingan pertama yang menggunakan sepenuhnya Litar Antarabangsa Petronas Sepang, cabaran bagi pusingan kedua ini kembali ke bahagian Selatan litar berkenaan dengan jarak hanya 2.706km dan berlangsung sebanyak 20-lap.
Seperti yang diketahui sebelum ini, Vios Challenge musim ke-7 hanya menampilkan tiga kategori iaitu Super Sporting, Sporting dan Rookie di mana kategori promotional untuk selebriti telah digugur. Namun untuk dua kategori utama selain Rookie, siri perlumbaan ini telah menarik pelumba-pelumba luar negara seperti Thailand, Singapura dan India.
RACE 1 (28 September 2024)
Untuk kelas pemandu profesional iaitu Super Sporting, penampilan pelumba-pelumba ‘otai’ jelas makin kurang. Bagi Race 1, ia didominasi sepenuhnya oleh pelumba yang lahir dari kelas Rookie iaitu Amer Harris memandu untuk pasukan Laser Motor Racing. Amer bukan sahaja bermula dari petak pertama perlumbaan selepas mencatatkan masa terpantas dalam sesi kelayakan, malah dia tidak mampu dicabar oleh pelumba lain, menamatkan Race 1 ini di kedudukan pertama dengan berada 5.2 saat di hadapan berbanding kelompok kedua.
Namun pelbagai drama tetap berlaku dalam perlumbaan ini bermula dari selekoh pertama untuk lap pertama, di mana juara kategori Super Sporting tiga kali, Tengku Djan Ley gagal mengawal keretanya ketika membrek dan merempih William Ho dari pasukan Toyotsu Racing, menyebabkan kedua-duanya tidak dapat meneruskan perlumbaan.
Safety car keluar untuk memimpin perlumbaan akibat dari insiden ini. Dan selepas ia dimulakan semula, Amer sekali lagi menjarakkan kedudukannya, sementara Freddie Ang dari pasukan Telagamas Toyota terpaksa bertempur hebat Hayden Haikal dari pasukan TD Racing untuk mempertahankan tempat kedua.
Walau bagaimanapun di saat akhir perlumbaan, Hayden Haikal melepaskan podium tempat ketiganya kepada rakan sepasukan Mitchell Cheah yang berada di belakang, disebabkan Mitchell kini mempunyai lebih peluang untuk bergelar juara keseluruhan.
“Hayden dan saya berada dalam pasukan yang sama dan ini merupakan perlumbaan pertamanya dalam Musim 7, jujur saya katakan bahawa beberapa strategi pasukan sedang dimainkan untuk membolehkan saya mengukuhkan kedudukan saya dalam kejuaraan keseluruhan,” kata Cheah.
“Melangkah masuk ke hujung minggu ini, saya tidak terlalu berharap kerana ini adalah kali pertama saya memandu kereta lumba Vios generasi baharu ini, dan ini perlumbaan pertama saya dalam Vios Challenge kategori Super Sporting. Kereta baharu ini memerlukan saya untuk lebih fokus ketika memandu dan dari segi brek, terdapat beberapa pelarasan yang perlu saya lakukan sebagai pemandu tetapi syukur kami berjaya membawanya pulang dalam P1,” kata Amer pula.
Untuk Rookie Class yang berlangsung sekali dengan Super Sporting, tempat pertama dirangkul oleh Brandon Ho, diikuti oleh Amirul Afiq dan Raja Amirul Syauqat.
“Saya habiskan Pusingan 1 dengan sedikit kecewa terhadap prestasi saya dan saya mengambil sedikit masa untuk menyemak banyak rakaman video on-board untuk melihat bagaimana saya boleh bertambah baik dalam Pusingan 2, dan jaga diet saya serta menguatkan mental dan kecergasan fizikal saya. Ia benar-benar membuahkan hasil dan saya mempunyai permulaan yang baik dalam perlumbaan 1 dari petak pertama. Saya sangat gembira,” kata Ho.
Pelumba muda juga menguasai kelas Sporting untuk pemandu amatur, di mana seorang lagi alumni program pembangunan pemandu muda Gazoo Racing dan kelas Rookie iaitu Elson Lew memenangi perlumbaan ini. Seorang lagi pemandu muda, Amirul Haikal dari pasukan Super Evergreen Motorsport berada 3.7 saat di belakang untuk berada di tempat kedua.
Wakil pelumba berpengalaman untuk podium Race 1 ini hanya diwakili oleh Kenneth Koh dari pasukan PCM Group Racing Team yang berjaya merangkul tempat ketiga.
“Perlumbaan agak baik dan saya berjaya melepaskan diri daripada petak pertama. Amirul rapat tetapi saya hanya perlu mengekalkan ketenangan,” kata Lew yang memandu untuk pasukan BAE Racing by ES Yang.
RACE 2 (29 September 2024)
Perlumbaan kategori Super Sporting dan juga Rookie terpaksa ditangguhkan seketika kerana ribut dan hujan yang turun terlalu lebat, memaksa pengarah perlumbaan untuk mengarahkan semua kereta yang telah pun bersedia di petak permulaan untuk pulang semua ke pit masing-masing.
Perlumbaan bermula lewat kira-kira 20 minit selepas itu, namun keadaan litar masih lagi basah. Dengan kaedah susunan grid terbalik berdasarkan keputusan Race 1, petak pertama dihuni oleh Nabil Azlan, diikuti abangnya sendiri Naquib Azlan, serta Hayden Haikal, Mitchell Cheah, Freddie Ang dan pemenang hari sebelumnya iaitu Amer Harris di petak ke-6.
Sebaik sahaja semua pelumba dilepaskan secara rolling start, Hayden Haikal berjaya memintas Naquib pada selekoh pertama. Naquib lebih kucar-kacir selepas itu bertarung dengan cengkaman tayar pada permukaan basah sehingga jatuh ke tempat ke-6. Penguasaan Nabil di hadapan juga tidak bertahan kerana dalam lap yang sama Hayden berjaya memintasnya untuk menjadi pendahulu perlumbaan.
Kedudukan Nabil terus jatuh lagi selepas itu dengan dipintas oleh Mitchell Cheah dan Freddie Ang. Hayden terus selesa berada di hadapan sehingga barisan penamat memberikan kemenangan pertamanya untuk musim ini. Cheah dan Ang bertarung hebat bagi merebut tempat kedua, tetapi akhirnya naib juara menjadi milik Freddie Ang, dan Mitchell Cheah sekali lagi berada di tempat ketiga.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang menjadikan perkara ini kenyataan…pada asasnya saya cuba untuk membiasakan diri dengan kereta ketika sesi latihan dan kelayakan. Saya bergelut sedikit dalam perlumbaan pertama tetapi keadaan cuaca basah hari ini banyak membantu saya. Saya suka hujan dan saya harap saya akan kembali untuk Pusingan 3,” kata Hayden yang kembali berlumba dalam Vios Challenge selepas terlepas Pusingan 1.
Dalam kelas Rookie, Brandon Ho yang perlu bermula dari grid ke-6 mengikut kaedah susunan grid terbalik dan juga perlu membawa beban weight ballast yang lebih banyak tidak menghalangnya untuk sekali lagi berada di podium pada Race 2, dengan menghabiskan perlumbaan di tempat ketiga.
Adam Mikail yang sebelum ini telah memenangi dua perlumbaan di Pusingan-1 seakan mula mendapat rentaknya kembali dengan sekali lagi menang pada Race 2 Pusingan-2 ini. Manakala tempat kedua pula di huni oleh Raja Amirul.
Untuk kategori Sporting, perlumbaan bermula bersih dengan tiada sebarang insiden berlaku di selekoh pertama. Shafiq Shamsudin dari pasukan Race Rally KL yang bermula di petak ketiga walau bagaimanapun berjaya memintas Eric Yong dari pasukan Bae Racing.
Kejutan berlaku di selekoh terakhir litar Selatan Sepang ini di mana sembilan buah kereta telah terkeluar dari litar termasuk pendahulu perlumbaan iaitu Choo Yong Choon dari pasukan Heiwa Racing membolehkan Shafiq memimpin perlumbaan. Insiden berkenaan turut membolehkan Elson Yew yang bermula pada grid keenam dengan grid terbalik berada di kedudukan ke-4.
Elson yang kelihatan selesa dengan jenteranya mula menyerang Eric dan Choo yang berada di hadapan, dan akhirnya dia berjaya berada di kedudukan kedua pada selekoh pertama lap ke-4. Dan pada lap ke-8, Shafiq pula dipintas oleh Elson yang mempamerkan pemanduan semakin garang.
Nasib malang terus menimpa Shafiq ketika mempertahankan tempat kedua dengan bertarung dengan Kenneth Koh dan pelumba muda Thailand yang baru berumur 16-tahun iaitu Panithan Rakpaibulsombut, keretanya mula menghadapi masalah mekanikal dan terpaksa keluar dari perlumbaan.
Selepas 20-lap, Elson Lew masih berada di hadapan untuk menjadi juara dua perlumbaan berturut-turut dalam satu pusingan. Kenneth Koh juga sekali lagi berjaya naik ke podium kali ini di kedudukan kedua, manakala tempat ketiga menjadi milik Panithan Rakpaibulsombut yang memandu untuk pasukan RUK Team Nexzter PMC 52.
“Masuk ke Pusingan 2, saya mempunyai perasaan yang sangat baik. Saya lebih yakin dan saya terpantas dalam kedua-dua latihan tidak rasmi dan rasmi serta kelayakan. Sudah tentu ia adalah hujung minggu terbaik perlumbaan yang saya alami,” kata Lew yang berumur 21 tahun.
“Strategi dalam Race 2 hanyalah untuk berusaha lebih baik dan sebaik sahaja saya mendahului, tugas saya adalah untuk menjarakkan jurang sebanyak yang saya boleh. Sebagai pemandu saya cuba untuk konsisten dan kekal fokus dan saya rasa itulah yang memenangi perlumbaan saya hujung minggu ini,” tambahnya.
Pusingan ketiga yang juga pusingan terakhir Vios Challenge musim ke-7 ini akan berlangsung pada 3 hingga 5 Januari 2025. Dan berbeza dengan dua pusingan sebelum ini yang tidak dibuka kepada orang ramai, finale untuk musim ke-7 itu nanti akan kembali diadakan sebagai Festival serta kepada orang ramai dengan pelbagai acara menarik termasuk hiburan serta aktiviti rekreasi dan keluarga.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.