Susulan pengesahan Edaran Tan Chong Motor (ETCM) selaku pengedar rasmi Nissan di Malaysia berhubung dengan teknologi pacuan hibrid Nissan e-Power yang akan tiba di Malaysia, laman Facebook seorang konsultan jualan berpusat di Bayan Lepas, Pulau Pinang turut mendedahkan Nissan Kicks e-Power akan hadir di rangkaian pengedaran tempatan tidak lama lagi.
Sebelum ini, ETCM berkata model hibrid e-Power akan dilancarkan di Malaysia pada suku ke-empat tahun ini. Kicks e-Power dipacukan oleh motor elektrik berkuasa 129 PS/280 Nm yang dipadankan bersama unit 1.2 liter naturally-aspirated tiga-silinder. Walau bagaimana pun, tiada sambungan pemacu mekanikal ke roda pacuan, dan ia dijanuakan oleh bateri 2.06 kWh.
Kicks e-Power ini mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 9.5 saat, dengan angka penjimatan bahan apinya didakwa sekitar 21.7 km per liter. Dengan ketibaan Nissan Kicks e-Power ini ke Malaysia yang memasuki segmen SUV hibrid, akan bersaing dengan Honda HR-V e:HEV dan Toyota Corolla Cross Hybrid, sebagai tambahan kepada kehadiran varian model enjin pembakaran dalaman (ICE) dan EV dari China.
Bagi yang mengikuti perkembangan model ini pasti akan menyedari bahawa ini adalah model generasi pertama yang menghampiri penghujung kitaran hayatnya, kerana model generasi kedua baharu telah diperkenalkan untuk pasaran AS pada Mac tahun ini.
Selain SUV hibrid ini, Nissan sendiri mempunyai rancangan untuk memperkenalkan lebih banyak model e-Power, malah jenama ini sedang melakukan persiapan untuk melancarkan Serena generasi-C28 yang pernah dilihat diuji di Malaysia.
e-Power yang dilengkapi untuk MPV tersebut diberikan motor elektrik 163 PS/315 Nm dan kuasanya dipadankan dengan enjin 1.4 liter HR14DDe naturally-aspirated tiga-silinder petrol (98 PS/123 Nm) yang mengecas bateri 1.77 kWh. Seperti tatapan pada Kicks, MPV hibrid ini juga tiada sambungan pemacu mekanikal ke roda pacuannya.
GALERI: Nissan Kicks e-Power di Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.